SUKMA 2026: Selangor terlepas podium MTB, Joe Hwa tekad bangkit

14 Aug 2026 • 9:23 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SUKMA 2026: Selangor terlepas podium MTB, Joe Hwa tekad bangkit

KUALA SELANGOR, 14 OGOS: Selangor gagal meraih sebarang pingat dalam acara berbasikal bukit (MTB) Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berlangsung di Denai Peladang Agro Park, Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh, petang tadi.

Bagi kategori downhill lelaki, atlet berbasikal lelaki, Lim Joe Hwa hanya mampu menduduki tempat ketujuh selepas mencatat masa 2 minit (m) 9.143 saat manakala Daniel Tai Zu Hui pula sekadar di tempat ke-14 dengan catatan masa 2m 16.070s.

Menurut Joe Hwa, dia sepatutnya boleh mencatat masa yang lebih baik namun tahap kekuatan fizikalnya masih belum pulih menyebabkannya gagal melepasi halangan ketika menuruni bukit.

"Tiba satu halangan besar, saya buat silap dan hilang kawalan kerana kekuatan masih tidak cukup untuk melepasi halangan tersebut lalu menyebabkan saya buang banyak masa," katanya kepada Media Selangor.

Bagaimanapun, Joe Hwa menerima keputusan itu dan mengakui kelemahan berpunca daripada diri.

"Selepas ini, saya akan kembali bangkit lebih kuat dalam kejohanan akan datang," katanya lagi.

Pada saingan petang tadi, atlet Negeri Sembilan, Zane Aydeen Mohd Faizal mengungguli kategori lelaki dengan catatan masa 1m 58.146s sekali gus meraih pingat emas.

Juara edisi SUKMA 2024, Tengku Mukhriz Tengku Mansor pula meraih pingat perak dengan catatan masa 1m 59.653s dan atlet Sabah, Brenjen Bon Jacon menerima gangsa dengan catatan masa 2m 4.519s.

Dalam pada itu, atlet Terengganu, Nur Syaza Damia Mohamed Arif meraih pingat emas bagi kategori wanita selepas mencatat masa 2m 22.624s.

Dua atlet Kelantan, Nurul Azlina Mohd Razali pula meraih pingat perak dengan catatan masa 2m 24.607s dan Nur Natasya Syamimi Mohd Irwan mendapat pingat gangsa dengan catatan masa 2m 26.010s.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved