SUKMA: 41 Emas Dalam Genggaman Selangor, Atlet Renang Eliza Serikan Hari Kelima

20 Aug 2026 • 11:34 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

SUKMA: 41 Emas Dalam Genggaman Selangor, Atlet Renang Eliza Serikan Hari Kelima

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Kontinjen tuan rumah Selangor sudah merangkul lebih separuh daripada 80 pingat emas disasarkan, bagi mencapai misi juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) edisi 2026, selepas hari kelima temasya sukan dwitahunan berlangsung setakat hari ini.

Berdasarkan carta pungutan pingat keseluruhan setakat pukul 10 malam ini, Selangor yang merupakan kontinjen paling cemerlang dalam sejarah penganjuran menerusi sembilan kejuaraan, melebarkan kedudukan di tangga teratas dengan 41 emas, 42 perak dan 30 gangsa, bagi mengatasi pencabar terdekat dan juara lima kali Terengganu di tempat kedua.

Terengganu memungut 31 emas, 29 perak dan 24 gangsa dan melengkapkan kedudukan tiga teratas ialah Wilayah Persekutuan dengan 29 emas, 25 perak dan 22 gangsa.

Perenang tuan rumah Eliza Tan Ai Shen pula mencuri tumpuan saingan hari ini, apabila muncul atlet pertama memecahkan rekod kebangsaan pada SUKMA kali ini.

Lebih manis, atlet berusia 19 tahun itu cemerlang memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali dalam masa sehari, bagi menyambar pingat emas dalam acara 100 meter (m) gaya bebas wanita di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Shah Alam.

Baca juga:

Beraksi di lorong keempat, Eliza memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan catatan 56.78 saat (s), meninggalkan perenang Perak, Nadia Lim (57.67s) dan Melaka Yeow Lynna Yi Jing (58.2s) dengan masing-masing meraih perak dan gangsa.

Eliza sebelum itu memadam rekod kebangsaan milik Nadia 57.11s dicipta pada Kejohanan Akuatik Kumpulan Umur Asia di Bangkok Julai lepas, selepas mencatatkan 57.03s pada pusingan saringan.

Dalam pada itu, Wilayah Persekutuan mencipta sejarah merangkul emas pertama badminton berpasukan lelaki, selepas menewaskan Pulau Pinang 3-1 manakala Selangor mempertahankan emas berpasukan wanita buat kali kedua berturut-turut, selepas membenam Pulau Pinang 3-0 di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam.

Sementara itu, Johor meneruskan dominasi mereka dalam olahraga buat tiga edisi berturut-turut, selepas penganjuran sukan tersebut melabuhkan tirainya di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang hari ini, sejak saingan bermula Ahad lepas.

Kontinjen dari selatan tanah air itu membawa pulang sembilan emas, lapan perak dan lima gangsa bagi menafikan cabaran Terengganu di tempat kedua (7-3-3) manakala Wilayah Persekutuan muncul pasukan ketiga terbaik (6-1-3).

Hari terakhir olahraga hari ini juga menyaksikan Pulau Pinang menamatkan penantian selama 28 tahun untuk kembali meraih pingat emas acara 4x400m lelaki, selain memperbaharui rekod temasya selepas mencatat masa 3 minit 11.84s sekali gus memadamkan rekod lama milik Johor 3:12.35, dicipta edisi lepas.

Selangor terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dengan catatan masa 3:13.52s, manakala gangsa milik Kedah dengan 3:14.09s.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved