Sultan Selangor: Jalur Gemilang simbol perpaduan milik semua rakyat

LocalPolitics
26 Aug 2026 • 11:38 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Sultan Selangor: Jalur Gemilang simbol perpaduan milik semua rakyat

SHAH ALAM, 26 OGOS: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah Jalur Gemilang merupakan simbol perpaduan yang dimiliki seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, bahasa, fahaman politik dan latar belakang.

Istana Alam Shah dalam kenyataan hari ini memaklumkan Baginda mahu rakyat memahami bahawa nilai kemerdekaan bukan sekadar pada sambutan atau kibaran bendera, tetapi pada kemampuan mempertahankan keamanan, keharmonian dan perpaduan negara.

“Walaupun kita berbeza bangsa, agama, bahasa, fahaman politik dan latar belakang, Jalur Gemilang (Bendera Malaysia) mengingatkan bahawa kita tetap rakyat sebuah negara yang sama.

“Bendera ini milik kita semua. Kita perlu bangga kerana ia adalah simbol perpaduan nasional,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan perkenan Baginda agar Jalur Gemilang dikibarkan di Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor bermula hari ini hingga 17 Sept sempena sambutan Kemerdekaan Malaysia ke-69.

Jalur Gemilang dinaikkan pagi ini oleh pasukan Bintara Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat.

Baginda turut mengingatkan generasi muda supaya dididik menghormati perbezaan agama, kaum dan budaya, manakala pemimpin serta ahli politik perlu menunjukkan teladan melalui sikap sederhana dan bertoleransi.

“Pemimpin dan ahli politik pula hendaklah menunjukkan teladan dengan mengamalkan kesederhanaan, toleransi dan sifat belas ihsan, serta tidak menjadikan perbezaan politik, kaum atau agama sebagai alasan untuk memecahbelahkan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Baginda bertitah cabaran sebenar bukan sekadar mengibarkan ribuan Jalur Gemilang, sebaliknya memastikan setiap rakyat berasa dihormati, diterima dan bangga menjadi rakyat Malaysia.

Justeru, Baginda menyeru rakyat menjadikan sambutan kemerdekaan sebagai kesempatan memperkukuh perpaduan, solidariti dan sikap saling menghormati.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved