IPOH - Usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Perak kini menanggung peningkatan operasi antara 10 hingga 50 peratus, kesan kenaikan kos bahan api akibat konflik di Asia Barat.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, situasi itu dikenal pasti menerusi tinjauan awal melibatkan 844 usahawan di seluruh negeri.
Menurutnya, tinjauan yang dilaksanakan Sekretariat Usahawan Perak dengan kerjasama Institut Darul Ridzuan itu menjadi indikator awal terhadap kesan kenaikan kos bahan api serta konflik Asia Barat ke atas sektor keusahawanan.
“Majoriti responden melaporkan peningkatan kos operasi, khususnya melibatkan bahan mentah, tenaga seperti minyak dan gas serta kos logistik.
“Peningkatan ini berada dalam julat 10 hingga 50 peratus dan secara langsung menjejaskan margin keuntungan syarikat,” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.
Salbiah berkata, tekanan itu turut diperburuk dengan perubahan pola perbelanjaan pengguna yang kini lebih berhati-hati, sekali gus menyebabkan penurunan jualan dalam kalangan usahawan sedia ada.
Menurutnya, dapatan tinjauan juga menunjukkan ketidakseimbangan taburan lokasi perniagaan, dengan kebergantungan tinggi di daerah Kinta, diikuti Larut Matang dan Selama.
“Beberapa daerah lain seperti Hulu Perak, Perak Tengah, Manjung dan Kuala Kangsar menunjukkan penglibatan sederhana, manakala Muallim, Hilir Perak, Kampar, Kerian dan Bagan Datuk masih berada pada tahap rendah,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor itu berkata, bagi menampung peningkatan kos, usahawan terpaksa mengambil langkah mengurangkan perbelanjaan operasi selain menaikkan harga produk dan perkhidmatan.
“Ada juga mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan kawalan harga barangan asas, subsidi berperingkat serta bantuan kewangan tambahan,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri memandang serius dapatan tersebut dan akan terus komited membantu sektor usahawan serta koperasi.
Katanya, perbincangan lanjut termasuk dalam mesyuarat khas berkaitan impak konflik Asia Barat turut diadakan bagi merangka langkah susulan yang bersesuaian.
“Kerajaan tidak menunggu masalah menjadi lebih besar, tetapi telah mula membaca isyarat awal dan menggerakkan respons yang bersesuaian," katanya.






