RM52 juta fasa pertama Santuari Gajah Perak bermula tahun ini

LocalEnvironment
20 Apr 2026 • 5:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RM52 juta fasa pertama Santuari Gajah Perak bermula tahun ini
Kok Lim ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Isnin.

IPOH - Projek pembinaan Santuari Gajah Perak (PES) di Hulu Perak akan memasuki fasa pertama pada tahun 2026 dengan kos berjumlah RM52 juta, kata Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim.

Beliau berkata, projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) itu dilaksanakan secara berfasa dengan fasa pertama melibatkan pembinaan infrastruktur asas termasuk kompleks pejabat, kurungan gajah dan berek kakitangan manakala fasa dua melibatkan pembinaan fasiliti ekopelancongan.

“Fasa pertama dijangka siap menjelang akhir 2030 dengan kos RM52,137,773.34.

“Bagi tahun 2026, kerja awalan seperti kajian tanah, pemetaan utiliti dan kerja ukur telah dimulakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui pelantikan perunding dengan kos RM500,000,” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.

Menurutnya, tapak PES seluas 79.74 hektar di Batu 11, Lebuhraya Timur-Barat, Mukim Temenggor dipilih kerana lokasinya yang strategik berhampiran habitat semula jadi gajah.

“Pewartaan kawasan ini melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan usaha konservasi dilaksanakan secara mampan.

“Projek ini juga berpotensi menjadi pusat pendidikan, penyelidikan serta tarikan ekopelancongan baharu di negeri Perak,” katanya.

Kok Lim menjelaskan, projek tersebut merupakan antara inisiatif utama kerajaan negeri dalam usaha pemeliharaan hidupan liar, khususnya gajah yang semakin terancam.

"Kerajaan negeri akan memastikan pelaksanaan projek dibuat secara terancang dengan mengambil kira aspek teknikal, pematuhan spesifikasi serta keberkesanan kos," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong itu berkata, kerajaan negeri turut memperkukuh usaha pemuliharaan Harimau Malaya melalui Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Negeri Perak (PTCAP).

Katanya, landskap hutan di negeri ini yang meliputi kawasan seperti Kompleks Hutan Belum-Temengor, Banjaran Bintang Hijau dan Kompleks Hutan Korbu-Piah merupakan antara habitat utama Harimau Malaya di Semenanjung Malaysia.

"Kita harus mengakui bahawa kita kini berada pada satu titik yang amat kritikal.

"Populasi Harimau Malaya di Semenanjung Malaysia masih berada pada tahap yang membimbangkan dan Perak merupakan antara benteng terakhir bagi kelangsungan spesies ini.

"Ini bermakna apa jua keputusan dan tindakan yang kita ambil hari ini akan menentukan sama ada spesies ini akan terus wujud pada masa hadapan atau hanya tinggal sebagai warisan dalam catatan sejarah," katanya.