Sungai Golok daripada sempadan kepada jambatan kerjasama

LocalEnvironment
28 Aug 2026 • 10:19 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sungai Golok daripada sempadan kepada jambatan kerjasama

SUNGAI Golok yang memisahkan Kelantan dan Narathiwat semakin memperlihatkan perubahan penting dalam cara Malaysia dan Thailand mengurus sungai sempadan itu.

Jika sebelum ini perhatian banyak tertumpu pada pengorekan, pemendapan muara dan tebatan banjir, namun perkembangan sejak 2024 menunjukkan kedua-dua negara semakin bergerak ke arah pengurusan lembangan yang lebih tersusun.

Perubahan paling ketara muncul pada 2 Jun 2026 apabila Kabinet Thailand meluluskan projek Memperkukuh Keselamatan Alam Sekitar dan Kerjasama Rentas Sempadan di Lembangan Sungai Golok/Kolok. Projek selama 48 bulan itu disokong Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF) dengan geran AS$4 juta (RM16.1 juta) manakala Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bertindak sebagai agensi pelaksana.Pejabat Sumber Air Negara Thailand dan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia terlibat dalam pembangunan projek tersebut.

Skopnya jauh melangkaui kerja fizikal sungai. Kerajaan Thailand menyatakan projek itu melibatkan pangkalan data bersama, pengurangan risiko banjir dan hakisan, penyelesaian berasaskan alam semula jadi, pengukuhan mekanisme kerjasama rentas sempadan dan penyediaan Program Tindakan Strategik bagi lembangan Sungai Golok.

Perubahan ini tidak berlaku secara tiba-tiba. Pada Ogos 2024, ketika Perdana Menteri Thailand ketika itu, Srettha Thavisin, bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat kawasan Su-ngai Kolok dan Rantau Panjang, isu pemendapan serta keperluan pengorekan Sungai Golok telah dibangkitkan. Bangkok kemudiannya mengarahkan kementerian berkaitan menyelaras tindakan.

Pada Disember 2024, kenyataan rasmi Kementerian Luar Thailand menyenaraikan Memorandum Persefahaman mengenai Pengurusan Bersepadu Lembangan Sungai Golok sebagai antara instrumen bilateral yang perlu dimuktamadkan. Namun, dalam kenyataan bersama Malaysia-Thailand pada 9 Julai 2026, MOU tersebut masih disenaraikan sebagai perjanjian yang belum selesai. Keadaan ini menghasilkan satu paradoks menarik. Kerjasama teknikal bergerak lebih pantas berbanding penyatuan kerangka institusi.

Buktinya dapat dilihat dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Bersama Malaysia-Thailand mengenai Penambahbaikan Muara Sungai Golok ke-42 pada 6 Ogos 2026. Jabatan Pengairan Diraja Thailand merekodkan kedua-dua negara telah menjalankan pengukuran paras air bersama, menghubungkan sistem amaran banjir melalui 14 stesen pengukur hujan serta membangunkan laman sesawang pusat untuk perkongsian maklumat.

Kedua-dua pihak turut berusaha mempercepat penyediaan Supplementary Agreement kepada perjanjian Malaysia-Thailand mengenai Projek Penambahbaikan Muara Sungai Golok 1997.
Ini menunjukkan hubungan air Malaysia-Thailand sudah bergerak melampaui pendekatan lama yang terlalu berpusat kepada projek kejuruteraan. Data, ramalan banjir dan pengurusan lembangan kini semakin menjadi ruang kerjasama bersama.

Lebih penting, perkembangan ini memperlihatkan Thailand sendiri semakin menggunakan bahasa tadbir urus yang lebih luas terhadap Sungai Golok. Fokus tidak lagi terhad kepada muara dan banjir, tetapi mula merangkumi keselamatan alam sekitar, perkongsian pengetahuan, penyelarasan institusi dan pengurusan risiko pada skala lembangan secara bersama.

Namun persoalan lebih besar masih belum terjawab. Adakah semua mekanisme teknikal ini akhirnya akan disatukan dalam kerangka pengurusan lembangan yang jelas dan berkekalan?

Bagi penduduk di kedua-dua sisi sempadan, jawapannya penting. Sungai Golok bukan sahaja memisahkan dua wilayah politik, tetapi menghubungkan komuniti yang menghadapi banjir, perubahan aliran dan risiko alam sekitar yang sama. Malaysia dan Thailand kini mempunyai peluang untuk mengubah Sungai Golok daripada simbol sempadan kepada model kerjasama air rentas negara. Tetapi tanpa kerangka institusi yang lengkap, kerjasama itu masih berisiko bergerak melalui projek demi projek, bukannya melalui satu visi lembangan yang benar-benar bersama. –UTUSAN

DR. MOHD. FIRDAUS ABDULLAH ialah Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

The post Sungai Golok daripada sempadan kepada jambatan kerjasama appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved