Sunway Theme Parks Kesal Insiden Libatkan 10 Pengunjung, Bekerjasama Rapat Dengan Pihak Berkuasa

25 Aug 2026 • 9:32 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Sunway Theme Parks Kesal Insiden Libatkan 10 Pengunjung, Bekerjasama Rapat Dengan Pihak Berkuasa

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sunway Theme Parks (Taman Tema Sunway) menzahirkan rasa kesal berhubung insiden membabitkan sebuah tarikan di Sunway Lagoon pada 22 Ogos 2026 yang melibatkan 10 orang pengunjung.

Sunway Theme Parks menerusi satu kenyataan hari ini (25 Ogos) berkata, pihaknya amat prihatin terhadap pengunjung yang terjejas dan kesulitan yang dialami oleh pengunjung serta keluarga mereka.

Keselamatan & kesejahteraan pengunjung keutamaan kami – Taman Tema Sunway

“Keselamatan dan kesejahteraan pengunjung adalah keutamaan kami. Sejak insiden tersebut, tumpuan utama kami adalah terhadap penjagaan dan kesihatan pengunjung-pengunjung yang terlibat.”

Menurut Sunway Theme Parks lagi, pihaknya telah menyediakan bantuan perubatan yang diperlukan serta terus berhubung rapat dengan pengunjung-pengunjung dan keluarga mereka.

Sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk jalankan siasatan menyeluruh, pandang serius insiden berlaku

Tambah taman tema itu lagi, ia sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkuasa yang berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden tersebut.

“Kami bersedia meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa dan individu-individu yang terlibat sepanjang proses ini. 

“Taman Tema Sunway memandang serius perkara ini. Kami kekal komited sepenuhnya untuk memastikan semua tarikan dan fasiliti kami mencapai tahap keselamatan tertinggi serta keselamatan dan keyakinan para pengunjung kami terus terjamin.”

Pengasas Sunway sahkan kemalangan babit roller coaster di Sunway Lagoon pada 22 Ogos

Sebelum ini Pengasas Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah, mengesahkan berlakunya kemalangan membabitkan sebuah roller coaster di Sunway Lagoon pada Sabtu, 22 Ogos.

Memetik NST, beliau berpandangan insiden mungkin berpunca daripada “kelelahan logam” (metal fatigue).

Namun jelasnya pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti keadaan yang membawa kepada insiden tersebut.

Tambah beliau, permainan tersebut sebelum ini telah ditutup sementara bagi menjalani pemeriksaan menyeluruh dan kerja-kerja penyelenggaraan iaitu sekitar dua hingga tiga minggu sebelum insiden berlaku.

Polis sahkan berlaku kemalangan roller coaster di “taman tema di Subang Jaya”

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan berlakunya kemalangan roller coaster di sebuah taman tema di Subang Jaya kira-kira jam 9 malam 22 Ogos yang mengakibatkan 10 pengunjung tercedera.

Ketika kejadian, seramai 22 pengunjung termasuk pelancong asing sedang menaiki permainan berkenaan.

“Kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan tiada kematian dilaporkan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Namun beliau pada waktu itu tidak menyebut taman tema yang terlibat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved