
GENTING HIGHLANDS - Sekumpulan individu yang mengunjungi taman tema di Genting Highlands mencetuskan tanda tanya selepas dilihat berjalan keluar di atas landasan roller coaster.
Difahamkan, permainan itu dipercayai berhenti secara tiba-tiba ketika sedang beroperasi.
Rakaman kejadian yang tular di media sosial memaparkan beberapa pengunjung berjalan menyusuri landasan sebelum meninggalkan kawasan permainan berkenaan.
Video itu dikongsikan di Threads oleh pengguna Nrlkbs_, yang mempersoalkan bagaimana pengunjung boleh dibenarkan turun dan keluar sendiri daripada roller coaster tersebut.
“Isu di Sunway Lagoon pun belum selesai, sekarang di Genting pula orang kena turun dari roller coaster dan jalan keluar? Apa sebenarnya yang berlaku? Harap tak ada sesiapa yang cedera. Dah macam pergi jungle trekking pula,” tulis pengguna itu.
Perkongsian tersebut pantas mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial.
Ada yang berpendapat pengunjung mungkin dikeluarkan melalui laluan pemindahan khas selepas permainan itu mengalami masalah teknikal.
Seorang pengguna, Unie, berkata situasi penumpang perlu keluar berjalan kaki bukan sesuatu yang luar biasa sekiranya roller coaster tersangkut dan tidak dapat kembali ke stesen asal.
“Mungkin roller coaster itu tersangkut disebabkan masalah teknikal dan tak dapat kembali ke kedudukan asal. Memang ada laluan untuk bawa pengunjung keluar,” katanya.
Seorang lagi pengguna yang mendakwa pernah bekerja di sebuah taman tema pula berkata, aspek keselamatan biasanya menjadi keutamaan dalam situasi seperti itu, dan tiada pengunjung mengalami kecederaan dalam kejadian seumpamanya sepanjang tempoh beliau bekerja.
Bagaimanapun, masa sebenar dan punca kejadian masih belum dapat dipastikan.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi sama ada roller coaster tersebut benar-benar mengalami kerosakan atau gangguan teknikal, atau sama ada terdapat pengunjung yang cedera dalam kejadian berkenaan.
Rakaman kejadian boleh disaksikan di pautan https://www.facebook.com/share/r/1BYKfP4E25/?mibextid=wwXIfr - Getaran, 25 Ogos 2026






