KUALA KANGSAR – [DIKEMAS KINI] “Kaki dicucuk dengan benda tajam dari bawah rumah.”
Itu antara kata-kata terakhir seorang suri rumah Orang Kurang Upaya (OKU), Nor Ainon Omar, 49, sebelum ditemui berlumuran darah di kediamannya di Kampung Cheh Hilir, Kati, di sini pada Rabu.
Suami mangsa yang ketika itu berada di rumah dikatakan sedang memasak sebelum terdengar isterinya meminta pertolongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Cheh Hilir, Nur Halim Abdul Hamid berkata, suami mangsa kemudian meminta bantuan seorang penduduk yang bekerja sebagai penoreh getah di kawasan berhampiran sebelum kejadian itu dimaklumkan kepadanya kira-kira jam 2 petang.
ARTIKEL BERKAITAN: Suri rumah ditemui mati dengan kesan tikaman
Suri rumah maut: Sempat beritahu suami kaki dicucuk dari bawah rumah, pisau ditemui di kebun
Suri rumah maut dibunuh: Suami, anak direman bantu siasatan
Suri rumah maut: Arwah sedang kopek ikan bilis sebelum ditusuk pisau
“Setibanya saya di rumah berkenaan, mangsa sudah tidak sedarkan diri dan tidak bergerak, selain terdapat kecederaan serta pendarahan pada bahagian betis.
**media[3657137]**
“Suami mangsa memberitahu, isterinya sempat mengatakan kakinya dicucuk dengan benda tajam dari bahagian bawah rumah melalui celahan papan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.
Menurutnya, mangsa dan suaminya menetap di rumah berkenaan bersama tiga anak mereka dan keluarga itu sudah lama tinggal di situ.
Katanya, ketika kejadian, seorang daripada tiga anak mangsa tiada di rumah.
“Penduduk kampung kemudiannya membantu mencari anak mangsa sebelum remaja berusia 15 tahun itu ditemui di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran sekolah.
“Penduduk memujuknya untuk pulang ke rumah sebelum dia dibawa berjumpa ibunya. Polis yang tiba kemudian turut menjalankan pemeriksaan dan soal siasat,” katanya.
**media[3657136]**
Nur Halim berkata, polis turut menemukan sebilah pisau di kawasan kebun kelapa sawit selepas anak mangsa menunjukkan lokasi berkenaan.
Sementara itu, adik ipar mangsa, Suliana Jalaluddin, 37, berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.16 petang selepas menerima mesej daripada abangnya yang juga suami mangsa menerusi kumpulan WhatsApp keluarga.
Menurutnya, hubungan mangsa, suami dan tiga anak mereka amat rapat, malah kesemua mereka turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Arwah merupakan OKU, begitu juga ketiga-tiga anak mereka.
“Anak sulung berusia 17 tahun merupakan OKU fizikal akibat kecederaan terbakar yang dialami sebelum ini, manakala dua lagi anak termasuk yang dikaitkan dengan kejadian ini adalah OKU pembelajaran,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.
**media[3656974]**
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam kira-kira 2.38 petang selepas ahli keluarga menyedari mangsa berada dalam keadaan tertiarap, tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di ruang tamu rumah.
Menurutnya, polis kemudiannya berjaya menahan dua lelaki merupakan ahli keluarga mangsa yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.
"Polis turut menemui sebilah pisau yang disyaki digunakan sebagai senjata dalam kejadian.
"Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek," katanya dalam kenyataan pada Rabu.





