
SEREMBAN: Seorang lelaki yang disyaki membunuh isterinya di sebuah unit kuarters kakitangan kerajaan di Nilai di sini malam tadi direman selama tujuh hari sehingga 22 Oktober ini bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Majistret Nurul Azuin Mohd. Talhah di Mahkamah Majistret Seremban pagi tadi.
“Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad menjelaskan mangsa yang pada awalnya dilaporkan sebagai pegawai kastam telah bertukar ke Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita Norhazwani Ibrahim, 35, ditemukan maut selepas dipercayai dibunuh suaminya di sebuah unit kuarters kakitangan kerajaan di Nilai, malam tadi.
Alzafny berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.30 malam.-UTUSAN.
The post Suspek bunuh isteri direman tujuh hari appeared first on Utusan Malaysia.






