Suspek kes samun, ugut dan cederakan warga asing akan didakwa Khamis ini

15 Sep 2026 • 6:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Suspek kes samun, ugut dan cederakan warga asing akan didakwa Khamis ini
AB RAHAMAN

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki tempatan yang ditahan pada Jumaat kerana disyaki terlibat dalam kes samun, mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah terhadap warga asing akan didakwa pada Khamis ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kertas siasatan berhubung kes berkenaan telah dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor.

Menurut beliau, suspek akan berdepan empat pertuduhan membabitkan tiga kes samun dan satu kes mendatangkan kecederaan.

"Suspek akan didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.

"Jika sabit kesalahan, ia boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga 14 tahun dan dikenakan denda atau sebatan.

"Selain itu, suspek turut berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

"Bagi kesalahan itu, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ab Rahaman berkata, kesemua pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses perundangan.

"Polis Johor turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada balai polis berhampiran," katanya.

Sebelum itu, pada Sabtu, Ab Rahaman dalam kenyataannya memaklumkan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun, mendatangkan kecederaan serta ugutan jenayah terhadap dua lelaki warga asing di sekitar Taman Perling, di sini.

Penahanan itu dibuat selepas polis menerima dua laporan polis berhubung kejadian itu pada Rabu dan Khamis lalu daripada mangsa yang berusia 25 dan 35 tahun.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved