
PETALING JAYA: Seorang penunggang motosikal tidak sempat menyelamatkan diri apabila sebatang pokok tumbang lalu menghempapnya bersama sebuah lori di Setia Eco Templer, Selayang dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, pokok berkenaan turut menghempap sebuah lori jenis Isuzu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.19 petang.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 2.28 petang sebelum mendapati seorang lelaki yang menunggang motosikal berkenaan tersepit dan tidak sedarkan diri.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan sebelum mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 2.35 petang.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi mengalihkan pokok tumbang itu turut melibatkan enam anggota dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Light Operational Vehicle (LOV).
Terdahulu, pengguna di Threads membuat rakaman video memaparkan kejadian pokok tumbang itu turut menimpa kenderaan seperti lori dan motosikal. – UTUSAN
The post Penunggang maut dihempap pokok tumbang appeared first on Utusan Malaysia.





