
KUALA PERLIS – Dua lelaki yang disyaki menyeludup lebih 60 kilogram ganja bernilai RM455,000 bertindak agresif dengan cuba merempuh bot ronda Maritim Malaysia (APMM) ketika dikejar di perairan Pantai Kurung Tengar, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu, anggota APMM terpaksa melepaskan tembakan amaran selepas bot fiber dinaiki suspek enggan berhenti, malah dipercayai cuba melanggar bot penguat kuasa bagi mengelak pemeriksaan.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, kejadian berlaku kira-kira 1.5 batu nautika di barat Pantai Kurung Tengar selepas pihaknya menerima maklumat risikan mengenai sebuah bot yang bergerak dari arah sempadan Thailand menuju ke Malaysia.
“Bot berkenaan dikesan bergerak pada kelajuan tinggi sebelum bertindak melarikan diri dan tidak mematuhi arahan berhenti untuk pemeriksaan.
“Bot suspek turut dipercayai cuba melanggar bot rondaan kami menyebabkan tembakan amaran terpaksa dilepaskan demi keselamatan anggota sebelum bot itu berjaya ditahan berhampiran Pantai Kurung Tengar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pemeriksaan lanjut menemukan tiga guni mengandungi 60 ketulan mampat disyaki ganja seberat 65.05 kilogram bernilai RM455,000, selain menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 34 dan 39 tahun.
Katanya, pihaknya turut merampas sebuah bot fiber berdaftar tempatan, enjin sangkut berkuasa 115 kuasa kuda serta peralatan menangkap ikan termasuk pukat, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan peralatan masih dalam penilaian.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE
The post Suspek seludup lebih 60kg ganja cuba rempuh bot APMM appeared first on Kosmo Online.




![[VIDEO] Jeritan wanita gagalkan cubaan ceroboh rumah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/CEROBOH-RUMAH-1024x768.jpg)

