
SHAH ALAM, 2 NOV: Lelaki warga asing ditahan polis Jumaat lalu selepas dipercayai menjadi suspek utama kes simbah asid terhadap kekasihnya di sekitar PJS 4, Petaling Jaya, 27 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek direman lima hari sehingga 4 November ini bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, suspek berusia 30-an turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.
"Mangsa wanita yang melecur disimbah asid itu berada dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Terdahulu, media melaporkan wanita warga asing melecur selepas disimbah cecair asid dalam kejadian di sekitar PJS 4, pada jam 10 pagi, Selasa lalu.
Shamsudin dilapor berkata, kejadian dipercayai berlaku membabitkan mangsa dan teman lelakinya yang juga warga asing.
Katanya, mangsa yang berusia 20-an bekerja di kedai makan.






