
PETALING JAYA – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dilaporkan kembali bertugas hari ini selepas bercuti minggu lalu dengan mempengerusikan Mesyuarat Commander’s Call Bil. 3/2026.
AKPS dalam hantaran di Facebook berkata, mesyuarat itu menghimpunkan semua pegawai kanan serta Komander Pintu Masuk AKPS bagi membincangkan hala tuju dan gerak kerja agensi berkenaan.
Menurutnya, antara tumpuan utama mesyuarat adalah Gerak Atur 2027 khususnya dalam memperkukuh hala tuju strategik, kesiapsiagaan operasi serta keberkesanan kawalan dan perlindungan sempadan negara.
“Fokus jelas. Gerak kerja diperkemas. Misi diteruskan. AKPS terus komited memperkukuh kecekapan pengoperasian, integriti dan keselamatan pintu masuk negara,” katanya.
Terdahulu, Mohd. Shuhaily berdepan kontroversi susulan insiden di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu yang membawa kepada siasatan polis berhubung dakwaan kekasaran terhadap dua anggota polis.
Kemudian pada 21 Oktober, Mohd. Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis tersebut.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Susulan perkembangan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 29 Oktober lalu mengesahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membuat keputusan untuk mengembalikan Mohd. Shuhaily ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas penempatan beliau secara pinjaman di AKPS ditamatkan.
Mohd. Shuhaily merupakan pegawai polis yang ditempatkan secara kader di AKPS, manakala penugasan beliau seterusnya dalam PDRM akan ditentukan oleh kepimpinan pasukan berkenaan.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail dilaporkan berkata, penugasan baharu Mohd. Shuhaily dalam PDRM masih belum diputuskan dan proses berkaitan penamatan awal tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah AKPS perlu diselesaikan terlebih dahulu. – KOSMO! ONLINE
The post Mohd. Shuhaily kembali bertugas, pengerusikan Commander’s Call AKPS appeared first on Kosmo Online.






