Shuhaily kembali bertugas, pengerusikan mesyuarat AKPS

LocalPolitics
2 Nov 2026 • 4:20 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Shuhaily kembali bertugas, pengerusikan mesyuarat AKPS

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kembali bertugas hari ini selepas bercuti pada minggu lalu dengan mempengerusikan Mesyuarat Commander’s Call Bil 3/2026.

Berdasarkan perkongsian di Facebook rasmi AKPS, Mohd Shuhaily mempengerusikan mesyuarat yang menghimpunkan pegawai kanan dan komander pintu masuk AKPS.

Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada perancangan Gerak Atur 2027, khususnya memperkukuh hala tuju strategik, kesiapsiagaan operasi serta keberkesanan kawalan dan perlindungan sempadan negara.

AKPS memaklumkan, mesyuarat berkenaan menjadi platform menyelaras gerak kerja bagi memastikan kecekapan pengoperasian agensi itu terus dipertingkatkan.

Ia turut memberi penekanan terhadap aspek integriti dan keselamatan di semua pintu masuk negara selaras dengan komitmen AKPS memperkukuh kawalan sempadan.

Mesyuarat itu turut mencerminkan kesinambungan agenda strategik AKPS bagi memastikan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab agensi berkenaan berjalan lancar dalam mendepani cabaran operasi pada 2027.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini mengambil keputusan mengembalikan Mohd Shuhaily yang dalam kontrak peminjaman kader sebagai Ketua Pengarah AKPS kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat baru-baru ini.

Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis, pada 28 September di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Mohd Shuhaily, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mohd Shuhaily didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Mohamad Faiz Saman antara 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, KLIA, pada 28 September lalu.

Beliau turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, di lokasi dan masa sama. – UTUSAN

The post Shuhaily kembali bertugas, pengerusikan mesyuarat AKPS appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved