
JOHOR BAHRU – “Saya terkejut apabila dapat panggilan telefon memaklumkan ayah sudah meninggal dunia kena tetak dengan kapak.”
Itu luahan pilu anak sulung kepada peneroka warga emas yang tidak menyangka panggilan daripada kenalan sekampung pada waktu maghrib menjadi berita paling menyedihkan dalam hidupnya apabila dimaklumkan bapanya, Arif Yusof, 68, mati dibunuh.
Menurutnya, dia yang menetap dan bekerja di Pengerang, Kota Tinggi, segera bergegas pulang sebaik menerima berita mengejutkan itu.
Katanya, dia sukar menerima kenyataan bapanya sudah tiada, apatah lagi pertemuan terakhir mereka hanya berlangsung Sabtu lalu ketika dia pulang ke kampung seperti kebiasaannya setiap hujung minggu.
“Biasanya setiap hujung minggu saya akan balik untuk berjumpa ayah. Kali terakhir saya jumpa dia Sabtu lalu. Memang tidak ada apa-apa perubahan pada ayah. Dia seperti biasa dan langsung tidak menunjukkan sebarang perkara yang mencurigakan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang di sini hari ini.
Lelaki berusia 40 tahun yang enggan dikenali itu berkata, dia tidak pernah menyangka pertemuan pada hujung minggu lalu menjadi kenangan terakhir bersama bapa tersayang.
Menurutnya, bapanya tinggal bersama ibunya yang berusia 58 tahun serta adik perempuannya dan suami di kampung.
Dia yang merupakan anak sulung daripada dua beradik berkata, berita kematian bapanya itu amat mengejutkan seluruh keluarga yang kini mahu mengetahui perkara sebenar di sebalik kejadian berkenaan.
Katanya, dia mengenali suspek sebagai kenalan bapanya, namun tidak mengetahui secara terperinci apa yang berlaku sehingga insiden tersebut berlaku.
“Saya tidak tahu apa motif kejadian ini. Biar polis menjalankan siasatan untuk mengetahui perkara sebenar,”katanya.
Dalam pada itu, lelaki itu berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap suspek sekiranya terbukti bersalah.
Katanya, sebarang perselisihan faham sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara baik tanpa perlu berakhir dengan kejadian yang meragut nyawa.
“Kalau ada masalah, boleh berbincang. Kami serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan berharap keadilan dapat ditegakkan untuk ayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Anak terkejut dapat ‘call’ bapa mati kena tetak appeared first on Kosmo Online.

![[KEMAS KINI] Bapa sempat ‘video call’, minta anak-anak pulang sebelum meninggal](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/photo-output-25-1024x813.jpeg)




