
KOTA TINGGI – Suspek kes tetak peneroka menggunakan kapak hingga maut di Felda Lok Heng Selatan di sini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 3 November depan.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Pengerang, Hidayatul Syuhada Shamsudin bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek yang berpakaian lokap berwarna jingga tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.45 pagi bagi permohonan reman.
Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek berjaya ditahan pukul 10.26 pagi semalam di dalam kebun kelapa sawit.
Katanya, pihak polis menerima maklumat kejadian bunuh melibatkan mangsa seorang lelaki warga tempatan berumur 68 tahun dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di tepi jalan di kawasan Felda berkenaan lebih kurang 7.56 malam kelmarin melalui panggilan kecemasan mers 999.
Menurutnya, hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa mengalami kecederaan luka pada bahagian kepala dan kedua-dua belah lengan.
Tambahnya, bertindak atas maklumat, polis turut berjaya merampas sebilah kapak dan sebuah motosikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.
Jelasnya, semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.-KOSMO! ONLINE
The post Suspek tetak peneroka direman tujuh hari appeared first on Kosmo Online.






