Suspek tikam isteri enam kali ada empat rekod jenayah

8 Oct 2026 • 1:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Suspek tikam isteri enam kali ada empat rekod jenayah
Laporan Sinar Harian dan Datuk Mohd Yusoff Mamat (kiri).

KOTA BHARU - Suspek yang disyaki menikam isterinya, seorang jururawat berusia 44 tahun, sebanyak enam kali di Kampung Padang Lepai, Kadok, di sini, pada Isnin lepas memiliki empat rekod jenayah lampau termasuk tiga berkaitan kesalahan narkotik.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, satu lagi rekod suspek berumur 47 tahun itu ialah berkaitan kesalahan jenayah lain.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pertikaian berkaitan perceraian dipercayai menjadi punca suspek bertindak agresif terhadap isterinya.

"Berdasarkan keterangan ahli keluarga mangsa yang diambil selepas laporan polis dibuat, suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan keputusan isterinya untuk memfailkan perceraian

"Perkara itu dipercayai menyebabkan suspek bertindak agresif sebelum menikam mangsa berulang kali, termasuk pada bahagian badan dan leher sebanyak enam kali,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Yusoff berkata, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Tambahnya, suspek yang menyerah diri kepada polis selepas kejadian, direman selama tujuh hari bermula Selasa lepas bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya. - Bernama

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved