LSS6 dan CRESS buka peluang kontrak berbilion ringgit kepada Samaiden, menurut RHB Research

LocalBusiness & Finance
27 Nov 2026 • 10:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LSS6 dan CRESS buka peluang kontrak berbilion ringgit kepada Samaiden, menurut RHB Research Image from: LSS6 dan CRESS buka peluang kontrak berbilion ringgit kepada Samaiden, menurut RHB Research hamden27/11/2026 - 10:57 Oleh HAMDENRAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Nov - Pelaksanaan projek Solar Berskala Besar 6 (LSS6) dan Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan Samaiden Group Bhd, dengan syarikat itu dijangka meraih peluang kontrak bernilai berbilion ringgit menerusi kedua-dua inisiatif tenaga boleh diperbaharui (TBB) berkenaan.

 

Peluang itu hadir ketika Samaiden mempunyai buku tempahan tertunggak sebanyak RM593.5 juta setakat suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27), meningkat kira-kira 36% berbanding suku sebelumnya, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan bagi tahun kewangan semasa.

 

RHB Research mengekalkan saranan BELI terhadap saham Samaiden dengan harga sasaran RM3.15, mewakili potensi kenaikan sebanyak 38%, disokong prospek penambahan kontrak daripada projek LSS6 dan CRESS.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan andaian Samaiden memperoleh kontrak LSS6 bernilai RM2 bilion, yang membayangkan kira-kira 15% bahagian pasaran, selaras dengan rekod syarikat memperoleh antara 10% hingga 15% bahagian pasaran dalam tender LSS terdahulu.

 

Dengan tender LSS6 ditutup pada Oktober 2026, penganugerahan kontrak paling awal dijangka berlaku pada suku pertama tahun kalendar 2027 (1QCY27).

 

Selain LSS6, Samaiden turut berpotensi memperoleh sekurang-kurangnya RM500 juta kontrak menerusi projek CRESS, yang dianggarkan menyumbang kira-kira 40 sen kepada harga sasaran saham syarikat itu.

 

Menurut RHB Research, prospek CRESS disokong pengurangan Caj Akses Sistem (SAC), yang dijangka meningkatkan keterlihatan kos dan kebolehbiayaan projek, sekali gus berpotensi menggalakkan lebih banyak penyertaan syarikat korporat.

 

Tiada penolakan daripada pembeli pusat data

Menariknya, firma penyelidikan itu tidak melihat sebarang penolakan daripada pembeli tenaga pusat data serantau terhadap saluran projek CRESS Samaiden setakat ini, meskipun kebimbangan terhadap kemungkinan kelembapan pelaburan pusat data telah menjejaskan sentimen sektor.

 

Pendedahan Samaiden kepada pusat data China juga masih agak kecil, sekali gus mengehadkan kesan kebimbangan berhubung perkembangan pelaburan pusat data di pasaran berkenaan terhadap saluran projek syarikat.

 

Dari sudut prestasi kewangan, Samaiden mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras sebanyak RM11.2 juta bagi 1QFY27, meningkat 80% berbanding RM6.2 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Bagaimanapun, hasil kumpulan susut 10.4% berbanding suku sebelumnya kepada RM94.7 juta, meskipun meningkat 7.5% tahun ke tahun.

 

Peningkatan keuntungan itu disokong margin bersih lebih kukuh sekitar 12% berbanding kira-kira 7% pada 1QFY26, hasil margin lebih baik daripada projek yang baru memulakan operasi serta strategi perolehan panel.

 

RHB Research menganggap keputusan kewangan itu menepati jangkaan, merangkumi 18% hingga 21% daripada unjuran keuntungan setahun penuh firma penyelidikan berkenaan dan konsensus.

 

Prestasi 2QFY27 lebih kukuh

Firma itu menjangkakan prestasi lebih kukuh pada separuh kedua FY27 apabila aktiviti pembinaan projek LSS6 dan CRESS mula menyumbang kepada pendapatan kumpulan.

 

RHB Research tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran keuntungan Samaiden dan mengekalkan harga sasaran RM3.15, termasuk premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 6%, berdasarkan skor ESG syarikat sebanyak 3.3 berbanding median negara 3.0.

 

Bagaimanapun, risiko utama terhadap prospek kumpulan termasuk penghentian insentif tenaga solar, persaingan industri serta kos projek yang lebih tinggi daripada jangkaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved