Syarat MITI terhadap BYD jejas keyakinan pelabur di Perak

LocalPolitics
17 Apr 2026 • 3:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Syarat MITI terhadap BYD jejas keyakinan pelabur di Perak
Salina (tengah) bersama Thulsi dan Steven ketika sidang media di Bilik Sidang Media DUN Perak pada Jumaat.

IPOH – Syarat baharu yang dikenakan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) terhadap syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD dibimbangi menjejaskan keyakinan pelabur serta berisiko menggagalkan peluang pembangunan di Perak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin berkata, pelaburan berkenaan amat dinantikan rakyat khususnya di kawasan Tanjung Malim yang melihatnya sebagai pemangkin ekonomi setempat.

Menurutnya, perkembangan projek tersebut sebelum ini menunjukkan kemajuan positif apabila kawasan terlibat telah dibersihkan sebagai persediaan pembinaan kilang.

"Rakyat di kawasan saya memang menantikan pelaburan ini kerana ia dijangka membawa pembangunan besar, bukan sahaja kepada Behrang tetapi seluruh negeri Perak.

"Apabila dikenakan syarat yang begitu ketat, ia memberi gambaran seolah-olah peluang ini ditarik bukan sahaja daripada penduduk tempatan tetapi juga negeri Perak secara keseluruhannya," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama enam wakil rakyat kerajaan iaitu ADUN Buntong, M Thulsi; ADUN Pasir Pinji, Goh See Hua; ADUN Astaka, Jason Ng Thien Yeong; ADUN Tronoh, Steven Tiw Tee Siang dan ADUN Pokok Assam, Ong Seng Guan di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.

Salina berkata, syarat ketat yang dikenakan secara tiba-tiba seolah-olah meragut peluang pembangunan yang telah dirancang rapi oleh kerajaan negeri.

Menurut beliau, kedudukan Tanjung Malim yang bersempadan dengan Selangor turut menjadikan pelaburan itu strategik kerana mampu merancakkan pembangunan dua wilayah sekali gus.

Katanya, sekiranya pelaburan tersebut tidak diteruskan, terdapat risiko ia dipindahkan ke negeri lain atau negara lain yang lebih menawarkan kemudahan mesra pelabur.

"Jadi saya memang berharap supaya pelaburan ini dapat diteruskan dan kita tak mahu usaha bersungguh-sungguh kerajaan negeri Perak membawa pelaburan ke sini dinafikan begini sehingga mungkin menyebabkan BYD ni dibawa ke negara lain.

"Malanglah bagi Perak kalau masih diteruskan di dalam negara kita tetapi dibawa pula ke negeri lain sebab kita dah tahu apa yang kerajaan negeri usahakan setakat ini untuk membawa pelaburan masuk," katanya.

Menurut Salina, projek berkenaan bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan secara langsung malah turut memberi limpahan manfaat kepada vendor tempatan dan pembangunan ekosistem industri baharu.

Jelasnya, golongan belia termasuk pelajar institusi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) di kawasan tersebut turut mengharapkan peluang pekerjaan daripada pelaburan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap MITI dan agensi berkaitan dapat meneliti semula syarat yang dikenakan serta memberi kelonggaran agar pelaburan tersebut dapat diteruskan.

Media sebelum ini melaporkan perancangan BYD untuk membina kilang pemasangan kenderaan elektrik (CKD) di Malaysia mungkin tidak diteruskan susulan syarat baharu ditetapkan MITI.

Antara isu utama yang menjadi titik perbezaan ialah keperluan supaya 80 peratus kenderaan yang dihasilkan dieksport manakala hanya 20 peratus dibenarkan untuk pasaran tempatan dengan harga tidak kurang RM200,000.

Bagaimanapun MITI dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa tiada syarat yang tidak memihak dikenakan terhadap pengeluar kereta, sebaliknya keperluan itu terpakai sama rata kepada semua pelaburan automotif baharu sejak September 2025.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, syarat yang dikenakan adalah tidak diskriminasi dan terpakai sama rata kepada semua projek pemasangan automotif berskala besar tanpa mengira jenama dan negara asal.