liza13/10/2026 - 16:57 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt – Syarikat farmaseutikal global dari Perancis, Sanofi merasmikan ruang pejabat baharu di Exchange 106, Kuala Lumpur, sempena ulang tahun ke-10 hab operasinya di Malaysia yang kini menyokong lebih 20 pasaran di Asia Pasifik dan rantau Teluk Besar.
Pembukaan pejabat baharu itu menandakan perkembangan operasi Sanofi di Malaysia, yang berubah daripada pusat perkhidmatan berfokuskan kewangan kepada hab pelbagai fungsi bagi menyokong keperluan perniagaan syarikat di peringkat serantau.
Sanofi Malaysia berkata, hab berkenaan menghubungkan tenaga kerja tempatan dengan pasukan syarikat di seluruh rantau, termasuk bagi menyokong operasi berkaitan imunologi, penyakit jarang berlaku dan penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin.
Sepanjang 10 tahun beroperasi, hab Sanofi di Kuala Lumpur memperluas skop tugasnya untuk merangkumi kewangan, sumber manusia, hal ehwal perubatan, perolehan serta pengilangan dan bekalan, selain fungsi perniagaan lain.
Perkembangan itu mencerminkan peranan tenaga kerja Malaysia dalam menyokong operasi syarikat farmaseutikal berkenaan di pelbagai pasaran, bukan hanya bagi keperluan dalam negara.
Ketua Operasi Perniagaan Sanofi, Agnès Perré berkata kepakaran, teknologi dan keupayaan organisasi penting untuk membantu syarikat menjalankan operasi dengan lebih pantas, konsisten dan berkesan.
“Seiring perubahan cara kerja, tumpuan kami adalah untuk mewujudkan nilai lebih tinggi menerusi kepakaran, data, teknologi dan maklumat,” katanya.
Pembangunan kemahiran digital jadi tumpuan
Sanofi turut memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran digital pekerjanya bagi memenuhi keperluan operasi yang semakin bergantung pada teknologi.
Bagaimanapun, syarikat itu menegaskan bahawa kepakaran manusia dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab kekal penting dalam memastikan operasi berjalan dengan berkesan.
Perkembangan hab berkenaan juga seiring dengan perubahan sektor perkhidmatan perniagaan global (GBS) Malaysia ke arah aktiviti bernilai lebih tinggi yang memerlukan kepakaran khusus serta keupayaan teknologi.
Malaysia mempunyai 749 syarikat GBS pada 2024 yang menarik pelaburan berjumlah RM9.87 bilion, manakala sektor itu mewujudkan lebih 36,000 pekerjaan antara 2021 hingga 2024.
Pejabat baharu utamakan keselesaan pekerja
Ruang pejabat baharu di Exchange 106 direka untuk menggalakkan kerjasama dan menyokong kesejahteraan pekerja.
Antara ciri yang disediakan termasuk penggunaan bahan rendah sebatian organik meruap (VOC), pencahayaan yang dirancang untuk mewujudkan persekitaran dalaman lebih sihat serta ruang yang menyokong kesejahteraan mental.
Majlis perasmian pejabat baharu itu disempurnakan Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Perancis di Malaysia, Olivier Sigaud.
Pembukaan pejabat itu turut berlangsung menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Perancis pada 2027. - DagangNews.com






