Sektor semikonduktor, teknologi perubatan jadi kelebihan IJM berbanding pesaing – CGSI

LocalBusiness & Finance
14 Oct 2026 • 12:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor semikonduktor, teknologi perubatan jadi kelebihan IJM berbanding pesaing – CGSI Image from: Sektor semikonduktor, teknologi perubatan jadi kelebihan IJM berbanding pesaing – CGSI liza14/10/2026 - 12:40 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt – Penglibatan IJM Corporation Berhad dalam projek semikonduktor dan teknologi perubatan menjadi kelebihan yang membezakan syarikat pembinaan itu daripada pesaing terdekatnya, Gamuda Berhad dan Sunway Construction Group Berhad, menurut CGS International Securities (CGSI).

 

Firma penyelidikan itu berkata, kejayaan IJM memperoleh kontrak pembinaan kemudahan semikonduktor bernilai RM1.23 bilion di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah menambah pendedahan syarikat kepada sektor pembuatan berteknologi tinggi yang memerlukan kepakaran teknikal khusus.

 

Kontrak yang diumumkan pada 12 Oktober itu diberikan oleh AT&S Austria Technologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn Bhd bagi pembinaan kemudahan pembuatan semikonduktor.

 

Di bawah kontrak berkenaan, IJM bertanggungjawab melaksanakan kerja sivil, struktur dan seni bina, sistem mekanikal dan elektrikal, bilik bersih, utiliti proses serta infrastruktur sokongan.

 

Projek itu merangkumi bangunan pengeluaran empat tingkat, bangunan utiliti pusat tiga tingkat dan kemudahan rawatan air sisa satu tingkat. Kerja pembinaan dijadualkan bermula pada suku keempat 2026 dan disasarkan siap dalam tempoh 14 bulan.

 

Dua lagi projek pembuatan bernilai RM909.5 juta

Menurut CGSI, kontrak terbaharu itu melengkapkan dua projek yang diumumkan IJM pada 26 Ogos 2026, membabitkan nilai gabungan RM909.5 juta dalam sektor semikonduktor dan teknologi perubatan.

 

Kedua-dua projek itu terdiri daripada pembinaan gudang untuk kemudahan semikonduktor di Kulim bernilai RM455 juta serta kemudahan pembuatan peranti perubatan di Batu Kawan, Pulau Pinang, yang turut bernilai RM455 juta.

 

Gabungan projek berkenaan menunjukkan penglibatan IJM dalam sektor pembuatan merangkumi kemudahan berkaitan semikonduktor dan peranti perubatan yang menjadi antara faktor pembeza syarikat itu dalam persaingan mendapatkan kontrak pembinaan.

 

Dengan tambahan kontrak RM1.23 bilion tersebut, nilai kontrak baharu yang diperoleh IJM sejak awal tahun kewangan 2027 sehingga tarikh laporan meningkat kepada kira-kira RM3 bilion.

 

Buku tempahan pembinaan IJM di Malaysia dan Singapura pula berjumlah RM10.6 bilion setakat Oktober 2026.

 

ARTIKEL BERKAITAN: IJM Construction raih kontrak RM1.23 bilion bina kemudahan pembuatan di Kulim

 

Sasaran kontrak baharu sehingga RM8 bilion

CGSI berkata IJM mengekalkan sasaran memperoleh kontrak baharu bernilai RM6 bilion hingga RM8 bilion bagi tahun kewangan berakhir Mac 2027 (FY2027), berbanding RM7.9 bilion yang diperoleh pada FY2026.

 

Sasaran itu disokong oleh nilai projek dalam proses tender berjumlah RM17 bilion hingga RM18 bilion, termasuk projek perumahan Nusantara di Indonesia, terminal lapangan terbang Pulau Pinang serta projek industri, pusat data dan kilang pembuatan semikonduktor.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan IJM akan lebih agresif mendapatkan kontrak baharu dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan akan datang, menjelang rancangan penyenaraian perniagaan pembinaannya yang dijangka pada suku ketiga 2027.

 

IJM turut menyasarkan hasil perniagaan pembinaan sebanyak RM4.5 bilion hingga RM5 bilion bagi FY2027, lebih tinggi daripada anggaran CGSI sebanyak RM4.1 bilion.

 

Sebagai perbandingan, perniagaan pembinaan IJM di Malaysia dan Singapura mencatatkan hasil RM3.6 bilion serta keuntungan sebelum cukai RM248 juta pada FY2026.

 

Margin kontrak berpotensi berada pada paras lebih tinggi

Dari sudut keuntungan projek, CGSI menjangkakan margin keuntungan sebelum cukai bagi kontrak semikonduktor terbaharu itu berpotensi berada pada bahagian lebih tinggi dalam julat panduan biasa IJM, iaitu 6% hingga 9%.

 

Jangkaan itu mengambil kira kaedah reka bentuk dan pembinaan (design-and-build) yang digunakan bagi projek berkenaan. Bagaimanapun, margin sebenar masih bergantung pada pelaksanaan projek dan kos berkaitan.

 

CGSI mengekalkan saranan Tambah terhadap saham IJM dengan harga sasaran RM3.42 tidak berubah daripada sasaran sebelumnya. Harga saham IJM ketika laporan itu diterbitkan ialah RM2.80.

 

Bagaimanapun, CGSI mengenal pasti kelewatan penganugerahan projek dan kenaikan kos bahan mentah sebagai risiko yang boleh menjejaskan prospek IJM. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved