Pertumbuhan Sunway REIT kekal stabil, disokong asas pengunjung domestik - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
13 Aug 2026 • 10:03 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pertumbuhan Sunway REIT kekal stabil, disokong asas pengunjung domestik - MBSB Research Image from: Pertumbuhan Sunway REIT kekal stabil, disokong asas pengunjung domestik - MBSB Research hamden13/08/2026 - 10:03 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Segmen runcit dijangka terus menyumbang pendapatan stabil kepada Sunway REIT disokong asas pengunjung yang sebahagian besarnya terdiri daripada pasaran domestik, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, struktur pengunjung tersebut mengurangkan pendedahan Sunway REIT kepada ketegangan geopolitik yang berterusan, khususnya kesannya terhadap ketibaan pelancong.

 

"Segmen runcit juga dijangka terus mendapat sokongan daripada penyewaan semula pada kadar yang positif. 

 

"Pada masa sama, prospek ketibaan pelancong yang kurang kukuh dijangka diimbangi oleh permintaan perjalanan domestik yang lebih tinggi, yang seharusnya memberikan sokongan kepada segmen hotel," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sehubungan itu firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘BELI’ terhadap Sunway REIT, lebih-lebih lagi dengan hasil agihan kasar sebanyak 6.2% yang dilihat sangat menarik.

 

Sunway REIT mengumumkan keuntungan bersih teras 2QFY26 meningkat 9.7% kepada RM112.3 juta, manakala jumlah keuntungan 1HFY26 naik 9.9% kepada RM227.1 juta.

 

Pertumbuhan tersebut dipacu terutamanya oleh segmen runcit yang mencatatkan pertumbuhan pendapatan bersih hartanah (NPI) sebanyak 15.5% YoY.

 

Prestasi itu disokong sumbangan lebih tinggi daripada Sunway Pyramid Mall dan Sunway Carnival Mall, selain sumbangan sulung AEON Mall Seri Manjung yang diperoleh pada Julai 2025.

 

Sementara itu, NPI bahagian hotel susut 5.7% YoY, terutamanya akibat permintaan hotel yang lebih lemah susulan ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah.

 

Bagaimanapun, prospek hotel bagi 3QFY26 dilihat lebih positif dengan kadar tempahan yang lebih tinggi susulan penyambungan semula beberapa penerbangan, yang dijangka membantu meningkatkan ketibaan pelancong. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved