hamden04/08/2026 - 11:53 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Ogos - United Asiapac Energy Berhad (Unipac) dijangka merekodkan pertumbuhan keuntungan yang kukuh dalam tempoh tiga tahun akan datang, disokong peningkatan berterusan perbelanjaan modal (CapEx) huluan PETRONAS, menurut Malacca Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, permintaan terhadap kerja-kerja penutupan telaga (P&A) serta pengembangan operasi di Malaysia Timur juga dijangka membantu pertumbuhan syarikat.
Katanya, Unipac berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan pertumbuhan aktiviti huluan negara sebagai penyedia perkhidmatan intervensi telaga tulen pertama yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia.
Ia mengekalkan nilai saksama sebanyak RM0.40 sesaham bagi UNIPAC, mewakili potensi kenaikan 13.1% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM0.35 sesaham.
Unipac syarikat 100% milik bumiputera dan berpangkalan di Kemaman, Terengganu serta Labuan bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 19 Ogos 2026 menerusi IPO yang melibatkan penerbitan 139.22 juta saham baharu.
Keuntungan Bersih
Menurut Malacca Securities lagi, keuntungan bersih teras selepas kepentingan minoriti (PATMI) dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 40.5% bagi FY26F hingga FY28F, masing-masing kepada RM14.6 juta, RM16.5 juta dan RM19.7 juta.
Katanya, pertumbuhan itu dipacu oleh peningkatan berterusan perbelanjaan Capex huluan PETRONAS, keperluan mandatori kerja-kerja penutupan telaga hidrokarbon, pengembangan margin keuntungan hasil pemilikan peralatan sendiri serta peluasan perkhidmatan bernilai tinggi seperti e-line, slickline dan wireline recovery.
Firma penyelidikan itu berkata, sebanyak 73.6% hasil Unipac bagi tempoh kewangan berakhir 28 Februari 2026 (FPE26) disumbangkan oleh PETRONAS Carigali, sekali gus memberikan pendedahan yang tinggi kepada pertumbuhan aktiviti huluan syarikat minyak nasional itu.
Dari segi prestasi kewangan, Unipac merekodkan hasil sebanyak RM37 juta pada FY25 berbanding RM44.4 juta pada FY24 berikutan penurunan bil projek di Sarawak selepas beberapa kerja intervensi telaga selesai dilaksanakan.
Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai meningkat 32.9% kepada RM7.1 juta, didorong peningkatan margin keuntungan kasar kepada 39.3% daripada 25.9% sebelum ini hasil strategi beralih daripada penyewaan kepada pemilikan peralatan sendiri.
Momentum itu berterusan pada FPE26 apabila syarikat mencatatkan hasil sebanyak RM39.1 juta dan keuntungan selepas cukai RM11.4 juta, manakala margin keuntungan kasar melonjak ke paras rekod 56.2%.

Strategi Pemilikan Peralatan Tingkatkan Margin
Firma penyelidikan berkata, strategi pemilikan peralatan bukan sahaja meningkatkan margin keuntungan malah mengukuhkan daya saing Unipac dalam pasaran perkhidmatan intervensi telaga yang mempunyai halangan kemasukan tinggi.
Selepas penyenaraian, kedudukan kewangan syarikat dijangka lebih kukuh dengan penerimaan hasil kasar IPO sebanyak RM48.7 juta, yang akan digunakan bagi memperkukuh kapasiti operasi dan menyokong pertumbuhan masa hadapan.
Dari sudut penilaian, Malacca Securities menggunakan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 12 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham (EPS) pertengahan FY28F sebanyak 3.30 sen, sekali gus menghasilkan nilai saksama RM0.40 sesaham.
Katanya, penilaian itu adalah wajar memandangkan Unipac mencatatkan pulangan atas ekuiti (ROE) sebanyak 21.3% dan margin keuntungan bersih 29.2%, mengatasi purata syarikat peralatan dan perkhidmatan minyak dan gas (OGSE) tempatan serta pemain antarabangsa.
Dalam jangka panjang, firma itu percaya sebarang pengembangan operasi Unipac ke pasaran antarabangsa berpotensi menjadi pemangkin kepada penilaian semula saham syarikat, sekali gus merapatkan jurang penilaian dengan penyedia perkhidmatan intervensi telaga global. - DagangNews.com






