
TAWAU: Sebuah Pusat Aktiviti Wanita (PAW) dicadang untuk diwujudkan di Pantai Timur Sabah bagi memperluaskan lagi capaian program pembangunan wanita di kawasan berkenaan.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Rina Jainal berkata ketika ini hanya daerah Beaufort dan Kota Kinabalu mempunyai PAW.
“Saya berpandangan sudah tiba masanya kita mewujudkan sebuah lagi pusat di Pantai Timur Sabah supaya bantuan dan program pemerkasaan wanita dapat diperluaskan,” katanya.
Menurutnya, penubuhan pusat tersebut penting bagi memastikan lebih ramai wanita, terutama di luar bandar, mendapat peluang mengikuti latihan, meningkatkan kemahiran serta memperkukuh ekonomi keluarga.
Rina yang juga Adun Kukusan berkata demikian pada Majlis Penyerahan Mesin Jahit dan Tamat Latihan Sesi 1/2026 di premis Skill Lab Training, pada Khamis.
Di majlis itu, beliau menyerahkan sebuah mesin jahit serta sijil penyertaan kepada sembilan peserta yang berjaya menamatkan latihan kemahiran menjahit selama enam bulan.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sabah sentiasa komited memperkasa golongan wanita, khususnya di kawasan luar bandar, melalui penyediaan latihan kemahiran, bantuan peralatan serta sokongan pembangunan keusahawanan bagi membantu mereka meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan.
Usaha berkenaan berkenaan, katanya, dilaksanakan melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) yang berperanan mengenal pasti golongan wanita yang memerlukan sokongan serta menyediakan peluang latihan bersesuaian.
Beliau berkata walaupun pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan, jurang ekonomi dalam kalangan wanita di Sabah masih menjadi cabaran yang perlu diberi perhatian, terutamanya melibatkan wanita di kawasan luar bandar.
Justeru, Rina melihat program latihan seperti itu merupakan salah satu pendekatan kerajaan untuk membantu wanita membina kemahiran, seterusnya menceburi bidang keusahawanan atau menjadi tenaga kerja mahir yang mampu bersaing.
Katanya, selain latihan, kerajaan melalui Jhewa turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan sokongan termasuk bantuan peralatan bagi membantu peserta memulakan atau mengembangkan aktiviti ekonomi mereka.
Dalam masa sama, beliau menggalakkan golongan wanita yang terlibat dalam bidang keusahawanan supaya bergerak secara berkumpulan melalui penubuhan persatuan atau pertubuhan berdaftar.
“Ini penting kerana melalui persatuan yang berdaftar, mereka lebih mudah mendapatkan akses kepada pelbagai bentuk bantuan dan geran daripada kerajaan negeri serta Kerajaan Persekutuan,” katanya.






