amree18/08/2026 - 11:31 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Ogos — Kekuatan penjanaan tunai Ta Ann Holdings Berhad diyakini terus menyokong pembayaran kadar dividen tinggi kepada pemegang saham melepasi 80%, menurut AmInvestment Bank.
Tambahnya, kumpulan itu mempunyai daya tarikan terutama menerusi pulangan yang kompetitif, dengan hasil dividen kumpulan tersebut diunjurkan masing-masing pada 6.5% bagi FY26 dan 6.4% bagi FY27.
Angka berkenaan ujar firma penyelidikan itu lebih tinggi berbanding beberapa syarikat perladangan utama di Sarawak, dipacu aliran tunai bebas yang dijangka kekal kukuh melebihi RM200 juta setahun.
"Kadar pembayaran dividen Ta Ann turut menunjukkan trend peningkatan dalam tempoh lima tahun lalu, daripada 42% pada FY21 kepada 85% pada FY24, sebelum berada pada 81% bagi FY25," jelas AmInvest.
Dari segi perbandingan industri pula ujarnya, hasil dividen FY27 kumpulan ini sebanyak 6.4% mengatasi Sarawak Oil Palms Berhad hanya kira-kira 3.4% dan Sarawak Plantation Berhad ialah 4.8%.
Saham kumpulan itu didagangkan pada anggaran nisbah harga kepada pendapatan (PE) FY27 sebanyak 11.3 kali dipacu perbelanjaan modal (capex) rendah dan harga minyak sawit mentah (MSM) masih baik.

Bagi prospek operasi tambah AmInvest, pengeluaran tandan buah segar (FFB) Ta Ann pula dijangka mampu meningkat kira-kira 6% pada FY26 dan 10% pada FY27 sekiranya tiada keadaan cuaca buruk.
"Kami menjangkakan kos pengeluaran keseluruhan kekal sekitar RM2,400 setiap tan pada FY26, dengan kos baja dijangka tidak banyak berubah sepanjang tahun, malah diunjurkan menurun 10%," katanya.
Capex dianggarkan RM66 juta pada FY26, terutama aktiviti penanaman semula serta penyelenggaraan perumahan dan infrastruktur, yang dijangka meningkat berikutan pembinaan kilang sawit baharu.
Walaupun naik, AmInvest percaya Ta Ann masih berupaya mengekalkan kadar pembayaran dividen melebihi 80% berdasarkan keupayaan penjanaan tunai yang kukuh, disokong harga MSM berdaya tahan.
Ta Ann memiliki 13 ladang kelapa sawit seluas 50,000 hektar dan tiga kilang sawit dengan kapasiti tahunan 1.5 juta tan. Bahagian perhutanan pula mengendalikan tiga unit meliputi 346,021 hektar.
"Bagaimanapun, bahagian kayu kekal menjadi cabaran selepas mencatat kerugian mencecag RM16.9 juta pada FY25 berikutan permintaan produk papan lapis dari Jepun yang lemah," kata firma berkenaan.
Setakat ini ujar AmInvest, pemangkin harga saham Ta Ann termasuk pengambilalihan tanah perladangan, pemulihan bahagian kayu dan kenaikan harga produk sawit. - DagangNews.com






