Pos Malaysia kekal rugi pada suku kedua, aliran tunai operasi 1H26 kembali positif

LocalBusiness & Finance
15 Aug 2026 • 8:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pos Malaysia kekal rugi pada suku kedua, aliran tunai operasi 1H26 kembali positif Image from: Pos Malaysia kekal rugi pada suku kedua, aliran tunai operasi 1H26 kembali positif johardy15/08/2026 - 08:20 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Pos Malaysia Berhad kekal mencatatkan kerugian pada suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY2026), walaupun kerugian bersihnya mengecil sedikit berbanding tempoh sama tahun lalu, ketika kumpulan itu meneruskan usaha transformasi dan pembaharuan ekosistem pos negara.

 

Kerugian bersih kumpulan susut kepada RM43.46 juta daripada RM45.42 juta setahun sebelumnya, manakala hasil meningkat 9% kepada RM481.3 juta berbanding RM441.57 juta, menurut makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.

 

Pos Malaysia, yang mencatatkan kerugian sejak tahun kewangan 2019 (FY2019), tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku berkenaan.

 

Selain peningkatan hasil, kerugian bersih yang lebih rendah turut disokong oleh pengurangan kos kewangan, perbelanjaan lain dan cukai.

 

Bagaimanapun, segmen teras pos mencatatkan kerugian sebelum cukai yang melebar 39.9% kepada RM55.2 juta, meskipun hasil meningkat sedikit dan jumlah bungkusan melonjak 34.3%.

 

Prestasi segmen itu terjejas oleh keuntungan pertukaran asing yang lebih rendah serta peningkatan perbelanjaan operasi.

 

Aliran tunai operasi bertukar positif

Sebaliknya, segmen penerbangan dan segmen lain merekodkan keuntungan segmen yang lebih baik, manakala kerugian segmen logistik berkurangan hasil peningkatan hasil perniagaan marin serta kos tetap yang stabil.

 

Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY2026), kerugian bersih Pos Malaysia mengecil kepada RM63.01 juta daripada RM86.94 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Hasil bagi tempoh enam bulan itu meningkat 8.15% kepada RM982.66 juta daripada RM908.63 juta.

 

Dalam kenyataan berasingan, Pos Malaysia berkata aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi bertukar positif kepada RM18.3 juta pada 1HFY2026 berbanding aliran keluar bersih RM64.6 juta pada 1HFY2025.

 

Kumpulan itu berkata perkembangan tersebut menunjukkan kemajuan ketara hasil pelaksanaan program transformasi yang sedang dijalankan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata keadaan pasaran kekal mencabar, namun keputusan suku terbaharu menunjukkan usaha yang dilaksanakan kumpulan mula menghasilkan kemajuan yang boleh diukur.

 

Terus bekerjasama dengan kerajaan

Beliau berkata Pos Malaysia kekal memberi tumpuan kepada pengurusan perniagaan secara berdisiplin, meningkatkan mutu perkhidmatan dan produktiviti serta membina kumpulan yang lebih mampan.

 

“Pada masa sama, kami akan terus bekerjasama secara konstruktif dengan kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam pembaharuan yang menyokong ekosistem pos yang mampan,” katanya.

 

Brewer berkata masih banyak yang perlu dilakukan, namun kemajuan yang dicapai setakat ini memberikan keyakinan kepada kumpulan untuk meneruskan usaha transformasinya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved