Keyfield berpeluang pulih pada 2H26 selepas terjejas akibat kadar sewaan rendah kapal sokongan – AmInvest

Business & Finance
17 Aug 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keyfield berpeluang pulih pada 2H26 selepas terjejas akibat kadar sewaan rendah kapal sokongan – AmInvest Image from: Keyfield berpeluang pulih pada 2H26 selepas terjejas akibat kadar sewaan rendah kapal sokongan – AmInvest amree17/08/2026 - 15:20 Oleh AMREE AHMAD editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Prestasi Keyfield International Berhad pada separuh pertama 2026 (1H26) terjejas teruk akibat penggunaan kapal sokongan kadar sewaan rendah, menurut AmInvestment Bank.

 

Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut menjangkakan pemulihan ketara pada tempoh separuh kedua 2026 (2H26) apabila semua kapal kumpulan berkenaan kini sudah dapat disewa kepada pelanggan.

 

Ujarnya, kumpulan itu mencatat kerugian bersih teras RM1.1 juta bagi 1H26, disebabkan banyak kapal mengenakan kadar sewaan harian (DCR) kira-kira 50% rendah berbanding kapal kerja penginapan (AWB).

 

"Walaupun pendapatan 2Q26 lebih lemah susulan kadar penggunaan sekitar 70%, kami tidak menjangka campuran kapal yang begitu berat sehingga menjejaskan keuntungan Keyfield sendiri," jelas AmInvest.

 

Sebahagian besar AWB mula disewa pada hujung 2Q26, menyebabkan kadar penggunaan kapal naik daripada 62% pada April kepada 83% pada Jun, petunjuk pemulihan operasi pada suku berikutnya.

 

Firma itu menjangkakan 1H26 menjadi titik terendah prestasi apabila kapal AWB dengan kadar sewaan tinggi mula beroperasi pada Jun, manakala kadar penggunaan dijangka terus meningkat pada 3Q26.

 

Keyfield_DagangNews2026

 

Keyfield kini tambah AmInvest, mempunyai 14 kapal miliknya sendiri yang sudah ditempatkan, manakala sebuah kapal baharu yang diperoleh, Keyfield Joyful, dijangka diserahkan pada pertengahan 3Q26.

 

"Pihak pengurusan menjangka kadar penggunaan kapal naik hingga 95% pada 3Q26, sebelum berkurangan kepada 65% pada 4Q26, manakala beberapa kontrak semasa akan berlanjutan hingga 1Q27," katanya.

 

Jadual penyewaan yang semakin baik itu memberikan keterlihatan hasil dan menjadi asas pemulihan pada 2H26 serta 2027, khususnya apabila aktiviti minyak dan gas (O&G) dijangka kembali pulih.

 

AmInvest turut melihat kelebihan armada moden Keyfield sebagai faktor penting berbanding pesaing, dengan semua kapal disewa sedangkan sebahagian pemain industri masih berdepan cabaran penempatan.

 

Bagaimanapun, ia menurunkan unjuran hasil FY26 sebanyak 49% bagi mengambil kira campuran kapal yang kurang menguntungkan pada 1H26, selain mengurangkan unjuran FY27 hingga FY28 sebanyak 2%.

 

"Ini susulan kos susut nilai lebih tinggi selepas penghantaran tiga kapal baharu, dengan kami turut mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Keyfield, tetapi menurunkan harga sasaran (TP)," ujarnya.

 

Ia dikurangkan AmInvest kepada RM1.76 daripada RM1.80 dengan prospek pertumbuhan pendapatan tiga tahun iaitu 15% dan hasil dividen Keyfield pada FY27 dianggarkan sekitar 6%. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved