hamden13/10/2026 - 11:32 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt - Pemegang saham minoriti United Malacca Bhd (UMCCA) disarankan supaya tidak menerima tawaran pengambilalihan mandatori (MGO) pada harga RM6.10 sesaham, memandangkan tawaran itu belum mencerminkan sepenuhnya nilai asas syarikat perladangan berkenaan, menurut TA Research.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan BELI terhadap UMCCA dengan harga sasaran RM6.74 sesaham, iaitu 10.5% lebih tinggi berbanding harga tawaran RM6.10 sesaham.
Menurut firma itu lagi, walaupun MGO berkenaan memberikan pilihan kepada pemegang saham untuk menjual pegangan mereka pada harga yang ditetapkan, nilai tawaran tersebut masih lebih rendah daripada anggaran nilai asas UMCCA.
“Kami melihat MGO itu sebagai perkembangan yang sedikit positif terhadap sentimen harga saham dalam jangka pendek, dengan tawaran RM6.10 menyediakan pilihan keluar secara tunai kepada pemegang saham.
“Bagaimanapun, harga sasaran kami sebanyak RM6.74 adalah 10.5% lebih tinggi berbanding harga tawaran, menunjukkan bahawa tawaran itu belum mencerminkan sepenuhnya nilai asas UMCCA,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Susulan itu, firma berkenaan menasihatkan pemegang saham minoriti supaya tidak menerima tawaran tersebut.
Bagaimana MGO berlaku?
MGO itu timbul selepas Prosper Trading Sdn Bhd (PTSB) memperoleh 13.44% pegangan dalam UMCCA, bersamaan 28.19 juta saham, daripada Great Eastern Life Assurance pada harga RM171.9 juta atau RM6.10 sesaham.
Urus niaga itu meningkatkan jumlah pegangan PTSB, pihak penawar muktamad serta pihak yang bertindak secara bersama (PAC) daripada 34.22% kepada 47.66%.
Susulan pengambilalihan tersebut, PTSB bersama pihak penawar muktamad , Tee Kim Tee dan Tee Cheng Hua, diwajibkan membuat MGO bagi baki 52.34% pegangan dalam UMCCA, bersamaan 109.80 juta saham, pada harga RM6.10 sesaham.
Tawaran itu boleh melibatkan jumlah pertimbangan tunai maksimum sebanyak RM669.8 juta, dengan andaian penerimaan penuh oleh pemegang saham.
MGO berkenaan tertakluk kepada syarat bahawa pihak penawar dan PAC memperoleh lebih daripada 50% saham mengundi atau hak mengundi UMCCA.
Kewajipan pengambilalihan terdahulu turut dipenuhi
TA Research turut menjelaskan bahawa kumpulan penawar sebenarnya telah melanggar ambang pengambilalihan mandatori sebanyak 33% pada 26 September 2024, apabila jumlah pegangan sahamnya meningkat daripada 32.63% kepada 33.70%.
Bagaimanapun, tiada MGO dibuat pada ketika itu.
Oleh itu, tawaran terbaharu itu bertujuan memenuhi kedua-dua kewajipan pengambilalihan terdahulu dan keperluan yang timbul daripada pengambilalihan pegangan saham baru-baru ini.
Bagi menangani perkara tersebut, pihak penawar turut memperkenalkan skim pampasan tunai kepada pemegang saham yang layak.
Skim itu meliputi pemegang saham yang memegang saham UMCCA pada 26 September 2024 atau membeli saham antara 25 hingga 26 September 2024, sebelum menjual saham berkenaan pada harga di bawah RM6.10 antara 26 September 2024 hingga 9 Oktober 2026.
Pemegang saham yang layak boleh menuntut perbezaan antara RM6.10 dengan harga jualan sebenar mereka, tertakluk kepada penyerahan dokumen sokongan.
Tarikh akhir tuntutan yang dicadangkan ialah 17 Disember 2026.
Penswastaan UMCCA tidak dirancang buat masa ini
Sebelum ini, TA Research mengenal pasti UMCCA sebagai calon berpotensi untuk penswastaan, mengambil kira struktur pemilikan dan nilai aset asas syarikat itu.
Bagaimanapun, pihak penawar dilaporkan tidak berhasrat untuk menswastakan UMCCA menerusi MGO semasa, memandangkan langkah itu bertujuan memenuhi kewajipan pengambilalihan mandatori berikutan pemerolehan saham terbaharu dan pelanggaran ambang terdahulu.
Walaupun penswastaan tidak dirancang buat masa ini, tawaran tersebut berpotensi membawa kepada penyatuan pegangan saham yang lebih besar, bergantung pada tahap penerimaan pemegang saham.
Firma penyelidikan itu mengekalkan harga sasaran RM6.74 sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) CY2027 sebanyak 12 kali serta premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 3%, tanpa sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan. - DagangNews.com






