
KUALA LUMPUR: Tabung Solidariti bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak setakat 10 pagi tadi telah mengumpul RM9.25 juta.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan menjelaskan masih terdapat baki RM40.75 juta untuk mencapai sasaran RM50 juta.
Katanya, usaha mengumpul sumbangan masih diteruskan sehingga hari ini bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Usaha-usaha sedang kita lakukan untuk menambah crowdfunding itu dan kita harap rakan-rakan kita akan dapat membantu dalam waktu terdekat untuk mencapai jumlah yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke 18 parti Makkal Sakti di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Katanya, jumlah RM50 juta itu perlu diselesaikan sebelum penahanan di rumah dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Kita harap rakan-rakan kita akan dapat membantu kita dalam waktu terdekat untuk mencapai jumlah yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan,” katanya.
Untuk rekod, tabung berkenaan diwujudkan susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Sebelum ini, UMNO mengumumkan pelancaran tabung khas bagi membantu meringankan beban kewangan Najib untuk melunaskan denda berkenaan. –UTUSAN
The post Tabung Solidariti Najib cecah RM9.25 juta appeared first on Utusan Malaysia.






