
KUALA LUMPUR – Tabung Solidariti bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya mengumpul RM9.25 juta.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu setakat pukul 10 pagi tadi dengan menjelaskan masih terdapat baki RM40.75 juta untuk mencapai sasaran RM50 juta.
Katanya, usaha mengumpul sumbangan masih diteruskan sehingga hari ini bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Usaha-usaha sedang kita lakukan untuk menambah crowdfunding itu dan kita harap rakan-rakan kita akan dapat membantu dalam waktu terdekat untuk mencapai jumlah yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke 18 parti Makkal Sakti di sini, hari ini.
Katanya, jumlah RM50 juta itu perlu diselesaikan sebelum penahanan di rumah dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Kita harap rakan-rakan kita akan dapat membantu kita dalam waktu terdekat untuk mencapai jumlah yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan,” katanya.
Tabung solidariti diwujudkan susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028. – KOSMO! ONLINE
The post Tabung Solidariti Najib kumpul RM9.25 juta appeared first on Kosmo Online.






