Tahanan rumah Najib: Kutipan bantu bayar denda cecah RM9.25 juta - Ahmad Zahid

LocalPolitics
27 Sep 2026 • 2:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tahanan rumah Najib: Kutipan bantu bayar denda cecah RM9.25 juta - Ahmad Zahid
Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR - Kutipan dana bagi membantu Datuk Seri Najib Razak melunaskan denda RM50 juta yang menjadi syarat untuk beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah kini mencecah RM9.25 juta.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu direkodkan setakat jam 10 pagi hari ini, namun masih belum mencukupi untuk mencapai sasaran ditetapkan.

“Setakat jam 10 tadi sebanyak RM9.25 juta telah dikutip dan ini masih belum mencukupi untuk mencapai angka RM50 juta.

“Usaha-usaha sedang dilakukan untuk menambah kutipan dana itu dan berharap rakan-rakan akan dapat membantu dalam waktu terdekat untuk mencapai jumlah yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan.

“Jumlah berkenaan harus diselesaikan sebelum penahanan di rumah itu dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Pada 25 Sept, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata bekas Perdana Menteri itu tidak mampu menyediakan sendiri jumlah berkenaan susulan pembekuan beberapa akaun bank miliknya.

Muhammad Shafee turut menjelaskan Najib tidak pernah meminta sumbangan orang awam bagi membayar denda berkenaan, sebaliknya kutipan itu dimulakan pihak lain.

Pada 20 Sept, firma Shafee turut memaklumkan Najib sedang mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan bagi memenuhi syarat pembayaran itu memandangkan sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanahnya masih tertakluk kepada perintah pembekuan dan tindakan penguatkuasaan.

Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan UMNO sebelum itu berjaya mengumpul RM1 juta dalam tempoh kira-kira sehari, selepas merekodkan RM165,645 pada sejam pertama dan RM634,562.02 dalam tempoh tiga jam.

Pada 18 Sept, UMNO mengumumkan pelancaran tabung berkenaan bagi membantu Najib melunaskan denda RM50 juta, dengan sumbangan dibuka kepada kepimpinan, ahli, penyokong parti serta mana-mana pihak secara sukarela.

Ia susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan yang memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda tersebut. - Awani 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved