
SEBUT sahaja nama Eleena Sui, pasti ramai yang merindui kelibat bekas hos dan pelakon jelita ini di kaca televisyen.
Terbaharu, perkongsian mengenai pemilik nama penuh Nor Eleena Hamzah di media sosial baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila dikayakan sefang hamil 22 minggu.
Menjawab segala teka-teki, SinarPlus sempat menghubungi pelakon jelita berusia 33 tahun itu secara alam maya bagi berkongsi perkembangan terkini dirinya.
Dia kini menetap di Arab Saudi mengikut suami tercinta, seorang peguam iaitu Ahmad Faisya Mohd Bustamam yang dikahwininya pada 4 Februari 2017.
Sambil tertawa kecil, Eleena membuka bicara dengan berkongsi berita gembira mengenai kehamilan anak keduanya yang rupa-rupanya sudah pun memasuki usia enam bulan.
Menariknya, kehamilan kali ini benar-benar tidak disedari olehnya sendiri pada peringkat awal kerana tidak mengalami sebarang alahan atau simptom yang pelik.
"Saya baru tahu hamil bulan lepas, tahu-tahu terus dah empat ke lima bulan dan sekarang ini dah masuk enam bulan.
"Alhamdulillah, ALLAH permudahkan semuanya.
"Malah ketika mengerjakan haji baru-baru ini, tak sangka saya boleh tawaf, saie dan berjalan sendiri tanpa perlu naik buggy. Memang tak ada simptom langsung, sebab itulah saya tak tahu diri ini sedang berbadan dua," kongsinya ceria mengenai kehamilan luar biasa itu.
Rupa-rupanya, misteri perutnya yang semakin membesar mula dihidu oleh anak sulungnya, Eva Aurora, yang kini sudah berusia lima tahun.

Teruja bakal jadi kakak
Gelagat si kecil itu yang terlebih dahulu menyedari perubahan fizikal ibunya menjadi momen paling melucukan buat Eleena sekeluarga.
"Anak perempuan saya kini dah lima tahun, kejap sahaja dah besar dan dah nak masuk sekolah pun.
"Bila dapat tahu bakal jadi kakak, dia excited sangat dan tak sabar nak jaga adik.
"Yang kelakarnya, sebelum saya pergi buat pemeriksaan doktor, dia yang musykil kenapa saya makin berisi dan tanya kenapa perut saya makin membesar.
"Saya sendiri tak perasan, tetapi dalam seminggu sebelum ke klinik itu, Aurora asyik tanya 'is there a baby in your tummy?' (adakah ada bayi dalam perut ibu?)," seloroh Eleena lagi.
Namun begitu, di sebalik fasa awal kehamilan yang tenang, Eleena mengakui dia sempat berdepan dengan situasi cemas apabila mengalami sedikit pendarahan akibat gaya hidupnya yang terlalu aktif.
"Sebelum ini kedatangan haid saya memang macam biasa, lagipun saya ini seorang yang sangat aktif. Ada sikit tumpah darah pada awal kehamilan, jadi saya anggap itu hanyalah darah haid biasa.
"Bila periksa dengan doktor, saya dinasihatkan jangan terlalu aktif sebab rupa-rupanya saya mengalami masalah plasenta previa atau uri di bawah.
"Seingat saya, antara bulan November tahun lepas hingga Januari tahun ini, saya banyak buat perjalanan darat atau road trip dari rumah ke Mekah untuk buat umrah yang memakan masa 14 jam pemanduan.
"Jadi, mungkin itu juga menjadi penyebab saya bleeding (pendarahan). Tapi sekarang alhamdulillah, selepas makan ubat semuanya dah okey. Insya-ALLAH kalau tak ada apa-apa halangan, bayi ini bakal lahir di Arab Saudi pada bulan September nanti. Minta semua doakan ya," ubgkapnya tulus.

Dia turut berkongsi merancang untuk terus menetap di sana memandangkan anak sulungnya bakal memulakan alam persekolahan tidak lama lagi.
Bercerita mengenai fasa kehidupannya sekarang, pelakon drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot itu memberitahu, dia kini selesa bergelar suri rumah sepenuh masa demi memberikan tumpuan 100 peratus kepada rumah tangga.
"Sekarang saya jadi suri rumah sahaja, memang fokus pada keluarga dan tak bekerja. Bagi saya, lebih baik duduk di rumah dan enjoy melihat anak membesar di depan mata," ujarnya.
Tunai haji usia muda
Dalam pada itu, Eleena turut memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga apabila impiannya untuk menunaikan ibadah haji pada usia muda akhirnya tercapai, sekali gus melunaskan niat asal penghijrahannya ke bumi anbiya itu.
"Saya pergi haji kali ini bukan menerusi Lembaga Tabung Haji atau kuota Malaysia, tetapi ikut kuota Arab Saudi sebab status saya sekarang adalah penduduk (resident) di sini.
"Yang bezanya dengan jemaah dari Malaysia ialah kami dari sini hanya melakukan perkara yang rukun sahaja, jadi ibadah haji kami hanya mengambil masa selama tujuh hari, berbanding jemaah Malaysia yang pergi lebih daripada sebulan.

"Saya dan suami terbang dari Dammam ke Jeddah pada 24 hingga 31 Mei lalu. Alhamdulillah, rezeki dapat menunaikan haji sewaktu muda-muda begini. Kudrat pun masih kuat dan sihat, masya-ALLAH saya sangat bersyukur.
"Memang dulu asbab dan niat berhijrah ke Arab Saudi pun adalah untuk mendekatkan diri dengan agama, jadi saya sentiasa meminta agar ALLAH mempermudahkan segala urusan kami di sini," ungkap Eleena mengakhiri perbualan dengan nada penuh kesyukuran.






