SHAH ALAM - Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang tidak lagi mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan wajar meletakkan jawatan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, tindakan itu perlu dilakukan atas prinsip dan maruah berikutan kesemua Exco terbabit baru sahaja mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Muhriz, awal Ogos lalu.
"DAP tetap berpegang teguh pada prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan dalam negara kita.
"Keluhuran undang-undang serta kemuliaan institusi diraja mesti dipertahankan dan tidak boleh dipermainkan demi sebarang kepentingan politik atau peribadi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Exco Negeri Sembilan umum Tuanku Muhriz diturunkan takhta, iktiraf Tuanku Nadzaruddin
Tindakan Exco Negeri Sembilan umum penurunan takhta Tuanku Muhriz perbuatan derhaka - Aminuddin
Exco Kerajaan Negeri Sembilan tidak boleh atasi UUTKNS - Undang Luak Rembau
[KRONOLOGI] Kemelut takhta Negeri Sembilan
Kerajaan Negeri Sembilan pada Rabu dilapor membuat keputusan kolektif bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah sah.
Menerusi satu kenyataan, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan yang bersidang pada Selasa dan dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dengan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu berkuat kuasa serta-merta.
Ismail turut mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) telah pun diminta untuk melaksanakan pewartaan proses proklamasi mengikut peraturan sedia ada.
Dalam pada itu, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban mempertikaikan tindakan barisan Exco itu yang kebanyakan baru dilantik, malah ada antara mereka belum pernah menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai anggota kerajaan.
"Mereka sepatutnya meneliti dan memahami terlebih dahulu peruntukan undang-undang serta punca kuasa masing-masing sebelum mengeluarkan kenyataan yang menyentuh kedudukan raja pemerintah negeri.
"Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak boleh diturunkan takhta sewenang-wenangnya tanpa proses yang sah menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
"Tindakan Exco membuat pengumuman sedemikian telah menimbulkan kekeliruan, menggugat tatatertib pentadbiran negeri dan mencemarkan kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Besar," tegasnya.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah itu turut mendakwa, keputusan Exco mengiktiraf proklamasi serta seorang pengganti berkuat kuasa serta-merta merupakan tindakan tidak berasas dari segi undang-undang, malah boleh dianggap sebagai derhaka terhadap raja pemerintah negeri.
Beliau berkata, keputusan Exco tidak boleh dengan sendirinya mengatasi UUTKNS ataupun ketetapan Dewan Keadilan (DKU).
"Sekiranya tindakan seumpama ini dilakukan oleh barisan Exco ketika Negeri Sembilan ditadbir oleh Pakatan Harapan, sudah tentu mereka yang selama ini gemar memperalatkan isu 3R untuk menyalahkan DAP akan mengecamnya habis-habisan," ujarnya.






