
KANGAR – Seorang ibu tidak menyangka sambutan ulang tahun kelahiran bersama anaknya, Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan pada 11 September lalu menjadi kenangan terakhir buatnya.
Mohd Roshaimi yang merupakan anggota risik Maritim Malaysia (APMM) di Unit Perisikan Ibu Pejabat Maritim Kedah dan Perlis dilaporkan maut ketika menjalankan operasi pemantauan dan kawalan sempadan di perairan Sungai Padang, dekat sini tengah malam tadi.
Menurut Hamidah Abd Kadir, 63, anaknya itu sebelum ini menyatakan hasrat untuk menyambut ulang tahun kelahirannya bersama keluarga pada tahun ini.
“Saya tidak sangka ia merupakan sambutan ulang tahun kelahiran terakhir anak sebelum dia pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini hari ini.
Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Rayyan Shakimi, 14, pula berkata, dia mengetahui berita kematian bapanya kira-kira pukul 3 pagi selepas ibunya, Sajaratul Akmal Abdul Shukor, 41, menerima panggilan telefon memaklumkan kejadian tersebut.
“Mak kejut dan beritahu ayah dah tak ada (meninggal dunia). Masa itu saya memang rasa sangat sedih,” ujarnya.
Menurut Rayyan, kali terakhir dia menatap wajah bapanya adalah pada petang semalam sebelum Allahyarham keluar bertugas.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya di Kuala Nerang, Kedah, untuk urusan pengebumian. – KOSMO! ONLINE
The post Tak sangka itu sambutan terakhir bersama Roshaimi – Ibu appeared first on Kosmo Online.






