
HULU SELANGOR – Seorang penunggang motosikal lelaki berusia 20-an maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Simpang Tiga Ulu Yam, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M Manimaran berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan maut itu kira-kira pukul 5.30 petang.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika mangsa dalam perjalanan dari Batang Kali menuju ke Serendah. Setibanya di Simpang Tiga Ulu Yam, sebuah lori dari arah bertentangan membelok ke simpang di sebelah kiri penunggang motosikal.
“Oleh kerana jarak terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak sebelum melanggar sisi kiri lori, lalu terjatuh dan digilis kenderaan berat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat dibawa ke Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat. Pemandu lori berusia 60-an pula tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammadi MT Abu @ Ramli di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE
The post Tak sempat elak lori membelok, penunggang maut digilis appeared first on Kosmo Online.






