Takdir anak kembar berbeza, seorang maut seorang lagi kritikal

4 Aug 2026 • 1:38 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Takdir anak kembar berbeza, seorang maut seorang lagi kritikal

BENTONG – Takdir dua anak kembar berusia lima tahun berakhir dengan nasib berbeza apabila seorang maut, manakala seorang lagi kritikal selepas kenderaan dinaiki mereka bersama keluarga dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Janda Baik-Bentong, dekat Lentang, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, empat daripada lima sekeluarga maut di lokasi kejadian. Mangsa yang terkorban ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd Radzi Rahimi, 40, isterinya Nuriani Mohammad Jafri, 36, anak kembar mereka Muhammad Rizz Hazim, lima tahun, serta adik ipar Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35.

Seorang lagi anak kembar pasangan itu, Muhammad Rizz Haziq, dilaporkan kritikal selepas menerima rawatan awal di Hospital Bentong sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk rawatan lanjut.

Kenderaan jenis Ford Raptor yang dinaiki lima sekeluarga itu dipercayai dalam perjalanan dari Bentong menuju Janda Baik sebelum dihempap sebatang pokok yang tumbang secara tiba-tiba.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, berkata operasi menyelamat membabitkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Janda Baik.

“Anggota penyelamat mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan empat mangsa yang tersepit di dalam kenderaan sebelum mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk proses bedah siasat.

Perkhabaran duka itu turut dikongsikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pahang merangkap Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah, menerusi hantaran di Facebook yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Polis kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian, manakala orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada ketika melalui laluan berbukit, khususnya ketika cuaca tidak menentu.

The post Takdir anak kembar berbeza, seorang maut seorang lagi kritikal appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved