Taman Seri Alam, Iris Hillpark, UiTM Puncak Alam banjir

5 Nov 2026 • 6:08 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Taman Seri Alam banjir

SHAH ALAM: Air dari kolam takungan di Taman Seri Alam, Saujana Utama di Bandar Puncak Alam melimpah sehingga membanjiri kawasan perumahannya susulan hujan lebat sejak pukul 4 petang tadi.

Malah, limpahan tersebut didakwa sudah pun memasuki rumah-rumah yang terletak di Jalan Seri Alam 1, sehingga memaksa penduduk mengalihkan menyelamatkan barangan berharga dan memindahkan kenderaan ke tempat selamat.

Menerusi perkongsian video oleh Zamron Mat dalam Facebooknya, kolam tadahan tersebut penuh sehingga melimpah dan menyebabkan banjir serta menyifatkannya lebih teruk berbanding sebelum ini.

“Kolam tadahan di Taman Seri Alam dah overflow, ia lebih teruk berbanding sebelum ini. Ada rumah yang dah naik (air). Memang melimpah lebih teruk berbanding sebelum ini dan ia menghala ke Jalan 3, 4 dan 14.

“Saya harap kepada semua tolong alihkan dahulu kenderaan dan pastikan keselamatan. Taman Seri Alam yang pernah banjir sebelum ini,” katanya dalam rakamannya di sini, hari ini.

Kolam takungan di kawasan perumahan itu pernah dilaporkan pecah sekurang-kurangnya tiga kali sejak 2015 akibat hujan lebat dan paras air di kolam tersebut melebihi daripada biasa.

Kejadian terbabit menyebabkan banjir di kawasan perumahan berkenaan terutama yang terletak berhampiran kolam itu di Jalan Seri Alam 1.

Kali pertama kejadian itu dilaporkan pada 2015 dan kemudian berulang pada Disember 2024 dan April tahun lalu.

Selain itu, turut ditenggelami air adalah jalan utama memasuki kawasan perumahan Iris di Hillpark, berhampiran Hospital Al Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.

Berdasarkan perkongsian video oleh Firman Ismie dalam Facebook Bandar Puncak Alam Community, limpahan air didakwa berlaku susulan kolam tadahan yang terletak bersebelahan kawasan perumahan itu penuh.

“Tasik depan perumahan Iris, Hillpark melimpah ke jalan. Hati-hati semua,” ujarnya.

Banjir juga dilaporkan berlaku dekat sebuah kawasan tempat letak kereta di dalam kampus UiTM Puncak Alam akibat limpahan air dari longkang berhampiran susulan hujan lebat yang turut melanda kawasan itu.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut dan keperluan terhadap bantuan keselamatan dan pemindahan.

The post Taman Seri Alam, Iris Hillpark, UiTM Puncak Alam banjir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved