Tanah Runtuh: Pasukan SAR Harap Temui Petunjuk Baharu Kesan Kedudukan Mangsa

19 Dec 2022 • 12:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Operasi SAR turut membabitkan unit anjing pengesan (K9) milik JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta lapan jentera berat (excavator) untuk mengorek tanah runtuh dari cerun berketinggian 16 meter - Gambar Fail

BATANG KALI – Usaha mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi mangsa kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Genting tapak perkhemahan dekat Jalan Batang Kali di sini semalam, tidak menemui sebarang petunjuk baharu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, SAR yang dijalankan selama 12 jam dari jam 9 pagi itu, gagal mengenal pasti kedudukan mangsa terbabit.

Menurutnya, operasi juga terpaksa dihentikan malam tadi berikutan hujan yang berisiko kepada pasukan SAR untuk meneruskan operasi.

“Pencarian membabitkan 135 pegawai dan anggota disambung semula jam 8 pagi tadi dengan lokasi pencarian ditumpukan di Sektor A (hill view) dan C (riverside).

“Hari ni kita tumpukan di tempat belum dilaksanakan pencarian dan kemungkinan besar akan menjumpai baki mangsa.

“Harap usaha hari ini membuahkan hasil. Semalam tiada hasil kita rasa terkilan dan kecewa. Walaupun kita sudah berusaha masih belum menemui mangsa masih hilang,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Hafisham berkata, operasi SAR turut membabitkan unit anjing pengesan (K9) milik JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta lapan jentera berat (excavator) untuk mengorek tanah runtuh dari cerun berketinggian 16 meter.

“Kita juga menempatkan pegawai keselamatan di lokasi yang akan memantau pergerakan tanah. Sekiranya berlaku gelinciran tanah dan batu, mereka akan bunyikan wisel sebagai amaran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan maklumat pihak berkaitan, risiko berlaku gelinciran tanah di lokasi terbabit adalah rendah. - Getaran, 19 Disember 2022