GEORGE TOWN – Penduduk yang diarahkan mengosongkan rumah susulan kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, di sini berdepan kesukaran mencari tempat tinggal sementara kerana tidak mendapat penjelasan mengenai pengaturan yang disediakan.
Seorang penduduk, Jenny Toh, 50-an berkata, mereka dimaklumkan boleh menginap di hotel dan menuntut bayaran semula kemudian namun tidak diberikan maklumat lanjut mengenai proses tuntutan serta pihak yang akan menanggung kos penginapan berkenaan.
“Semua orang tidak tahu hendak pergi ke mana,” katanya ketika ditemui di lokasi pada Ahad.
Menurutnya, seramai 10 ahli keluarganya termasuk anak dan cucu tinggal di rumah berkenaan menyebabkan mereka kini perlu mencari tempat perlindungan sementara selepas diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing.
Jenny berkata, dia pulang ke rumah pada pagi Ahad selepas dimaklumkan oleh ahli keluarga dan jiran mengenai kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan itu.
BERITA BERKAITAN: Lelaki maut tertimbus tanah runtuh di belakang rumah
Lelaki maut tertimbus tanah runtuh: 'Bunyi itu sangat kuat kerana dekat dengan rumah' - Saksi
Lelaki maut tertimbus tanah runtuh: Punca dikaitkan projek perumahan disiasat
Tanah runtuh: Arahan henti kerja dikeluarkan terhadap projek pembangunan - MBPP
Katanya, air turut memasuki bahagian belakang rumahnya susulan kejadian berkenaan sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan kediaman mereka.
Dia turut mendakwa penduduk sebelum ini beberapa kali mengemukakan aduan berhubung kerja-kerja yang dijalankan di kawasan tanah di belakang rumah mereka termasuk aktiviti pengorekan.
Bagaimanapun katanya, mereka kini terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dan menguruskan barangan peribadi untuk mencari tempat tinggal lain sedangkan pengaturan berkaitan penempatan sementara masih belum jelas.
"Keadaan itu amat membimbangkan khususnya bagi keluarga yang tidak mempunyai tempat lain untuk berlindung dalam tempoh terdekat," katanya.






