Tangani budaya ganas pelajar

LocalFamily & Parenting
3 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tangani budaya ganas pelajar

ISU keganasan dalam kalangan pelajar mutakhir ini semakin menjadi-jadi dan tidak boleh lagi dianggap sebagai isu disiplin biasa.

Kejadian-kejadian yang sebelum ini lebih banyak dilaporkan di luar negara kini turut berlaku di negara ini dan sudah menjadi seperti suatu perkara biasa.

Malah jika bertahun-tahun dahulu isu ini tidak begitu ketara dan masyarakat hanya mengetahuinya di belakang tabir namun kini ia tidak lagi menjadi rahsia. Hanya dalam beberapa minit semuanya tersebar di media sosial.

Dalam sesetengah keadaan, tindakan berbahaya, ganas atau melanggar undang-undang yang dipaparkan secara berulang dianggap sebagai sesuatu yang normal dan boleh dicontohi.

Lalu akhirnya menyebabkan ada yang terjebak melakukannya tanpa rasa bersalah.

Justeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan pelajar wajar memainkan peranan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, inklusif dan saling menghormati.

Ibu bapa khususnya perlu bijak mencetuskan suasana positif dan harmoni apabila berkomunikasi dengan anak-anak serta memantau perilaku mereka, peka terhadap sebarang perubahan emosi anak dan tidak memandang remeh dengan aduan mereka.

Komunikasi terbuka seperti mendengar masalah anak dengan penuh minat merupakan jalan terbaik daripada terus menghukum atau menghakimi mereka.

Tindakan memukul anak sebagai satu bentuk disiplin boleh memberi kesan buruk terhadap perkembangan emosi, mental dan perilaku mereka.

Komunikasi yang baik antara ibu bapa dan anak-anak akan menjadi benteng utama dalam mengesan perubahan sikap, tekanan atau masalah yang mungkin sedang dihadapi anak-anak.

Pada akhirnya, ia mampu menjadi faktor pelindung daripada berlakunya tingkah laku agresif.

Sekiranya ibu bapa memberikan didikan yang betul kepada anak-anak sejak kecil, menerapkan nilai-nilai murni seperti empati, saling hormat-menghormati dan bertanggungjawab, perbuatan seperti bersikap ganas dan buli dapat dicegah dari akar umbi.

Pendidikan yang bermula dari rumah dengan berasaskan kasih sayang dan disiplin berupaya membentuk peribadi anak-anak yang berakhlak mulia serta bijak mengawal emosi dan tingkah laku.

Pembabitan aktif ibu bapa melalui persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) perlu diperkasa bagi meningkatkan literasi kesihatan mental dan kemahiran keibubapaan.

Ibu bapa tidak sewajarnya menyerahkan keseluruhan pembentukan akhlak dan disiplin anak-anak kepada sekolah semata-mata dan kemudian bertindak menyerang guru apabila anak ditegur.

Ibu bapa harus faham bahawa peranan guru tidak terhad kepada mengajar di dalam bilik darjah, sebaliknya turut melibatkan aspek mendidik, menegur, mengawal pergerakan pelajar dan memastikan keselamatan mereka. Justeru itu, guru wajib dihormati selayaknya.

Pada masa ini, kewibawaan guru dilihat semakin terbatas untuk bertindak dan mendidik secara profesional.

Oleh kerana itu, peranan guru perlu dikembalikan ke kedudukan sebenar bagi membolehkan mereka membimbing, menegur serta membentuk keperibadian pelajar secara lebih berkesan.

Pada masa yang sama, harus difahami bahawa mengembalikan wibawa guru bukan bererti memberikan kelebihan kepada mereka untuk menghukum tanpa batas.

Dengan kata lain, ketegasan dan kasih sayang harus seimbang dalam konteks menghukum kesalahan pelajar.

Paling utama, kerjasama bersepadu antara ibu bapa dan guru dalam membina persekitaran yang benar-benar selamat, inklusif serta menyokong kesejahteraan mental remaja harus terus diperkukuh. – UTUSAN

MOHD SALLEH OSMAN
Banting, Selangor

The post Tangani budaya ganas pelajar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved