
KUALA LUMPUR, 28 OKT: Polis Kuala Lumpur akan menambah jumlah Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada seorang atau dua orang sebelum ini kepada lima pegawai bagi setiap sekolah dalam usaha memantapkan pemantauan dan menangani isu disiplin pelajar.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata langkah itu ialah sebahagian daripada pendekatan agresif pihaknya dengan menggerakkan elemen operasi secara terus ke 348 sekolah di ibu negara.
Beliau berkata hal ini termasuklah penugasan unit peronda bermotor (URB) dan kereta peronda polis (MPV) dengan kekerapan rondaan tiga hingga empat kali seminggu untuk berjumpa, memberikan nasihat serta melakukan pemeriksaan bersama dengan guru disiplin.
"Melalui pemantauan ini juga, kita akan melakukan pemprofilan terhadap pelajar di sekitar ibu negara yang didapati kerap ponteng serta tercicir daripada sistem persekolahan bagi membantu mereka kembali ke sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pelajar Pemacu Negara - Sayangi Diri, Jauhi Dadah dan Hargai Kehidupan di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menyambut baik langkah berkenaan, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyifatkan inisiatif itu sebagai tanda kebersamaan pihak polis dengan warga sekolah, selain memenuhi harapan ibu bapa yang mahukan kehadiran pihak berkuasa di kawasan sekolah.
"Memang, kalau kita lihat ada dalam kalangan ibu bapa yang berharap ada lebih banyak police presence di sekolah untuk mengingatkan, terutamanya para pelajar bahawa pihak polis ialah sebahagian daripada masyarakat dan sekiranya ada apa-apa yang ingin mereka sampaikan kepada pihak polis, polis berada dalam sekolah," katanya.
Terdahulu, program sehari yang disertai oleh 336 pelajar daripada 122 sekolah menengah di Kuala Lumpur dan Putrajaya itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah, kepentingan disiplin diri dan penjagaan kesihatan mental.
-- BERNAMA






