Tangis, tawa dan TikTok warnai SPM

3 Apr 2026 • 9:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Reaksi pelajar yang tidak dapat menahan sebak selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2025 semasa Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2025 Peringkat Negeri Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun pada Selasa. Foto Bernama

PAGI pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 pada Selasa lepas bukan lagi sekadar rutin mengambil slip keputusan di sekolah, sebaliknya bertukar menjadi satu momen emosi yang dikongsi secara terbuka oleh generasi pelajar hari ini.

Dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42, berbanding 4.49 pada 2024, Kementerian Pendidikan (KPM) menyifatkan calon SPM 2025 sebagai generasi yang mempunyai daya tahan tinggi, meskipun merupakan kohort pertama yang tidak menduduki peperiksaan utama seperti UPSR dan PT3.

Di pekarangan sekolah, pelajar berkumpul seawal pagi ditemani ibu bapa dan guru, namun cara mereka meraikan keputusan jelas berbeza berbanding generasi terdahulu.

Jika dahulu emosi kegembiraan atau kekecewaan lebih banyak disimpan atau dikongsi dalam kelompok kecil, kini pelajar lebih berani menzahirkan perasaan secara terbuka termasuk di media sosial.

Ada yang menangis tanpa segan, ada yang melompat kegembiraan, malah tidak kurang yang memeluk guru, menjadikan suasana penuh kejujuran emosi.

Fenomena itu turut disertai trend merakam detik menerima keputusan untuk dikongsi di TikTok, Instagram dan platform lain, seolah-olah setiap reaksi menjadi sebahagian naratif kejayaan.

Video ‘reaction’ memaparkan pelajar membuka slip keputusan diiringi tangisan, jeritan dan gelak tawa bukan lagi asing, malah menjadi dokumentasi peribadi untuk dikongsi kepada umum.

Dalam konteks ini, generasi SPM 2025 dilihat lebih selesa dengan keterbukaan, bukan sahaja meraikan kejayaan, tetapi juga menerima dan berkongsi kekecewaan.

Menariknya, keterbukaan ini membentuk budaya sokongan lebih kuat dalam kalangan rakan sebaya apabila pelajar saling memberi kata-kata semangat tanpa mengira keputusan.

Tidak lagi tertumpu kepada mereka yang memperoleh keputusan cemerlang semata-mata, sebaliknya pelajar dengan keputusan sederhana turut diraikan.

Di sebalik suasana pelajar, ibu bapa turut menjadi sebahagian daripada momen emosi ini apabila ramai menunggu bersama di pagar sekolah untuk berkongsi detik penting anak-anak.

Ada yang menangis kegembiraan, ada yang tersenyum lega, menggambarkan kejayaan bukan milik pelajar semata-mata, tetapi hasil pengorbanan keluarga.

Guru pula kekal sebagai ‘wira senyap’ yang menyaksikan pelbagai reaksi pelajar, daripada yang melonjak kegembiraan hinggalah yang tunduk kecewa, namun tetap diberikan sokongan tanpa syarat.

Melihat perubahan sikap generasi pelajar yang lebih terbuka, kerajaan khususnya KPM wajar memperkukuh sokongan kesihatan mental di sekolah secara menyeluruh dan berterusan.

Ini termasuk menambah kaunselor terlatih, memperluas program kesejahteraan emosi serta menyediakan ruang selamat untuk pelajar berkongsi tekanan tanpa stigma.

Dalam masa sama, pendekatan pendidikan perlu disesuaikan dengan realiti generasi digital apabila elemen literasi media sosial dan pengurusan emosi dalam talian diberi penekanan. Ini penting bagi memastikan keterbukaan dimanfaatkan untuk membina keyakinan diri dan sokongan komuniti sihat.

Kerajaan juga boleh mempertimbang usaha memperluas definisi kejayaan dalam sistem pendidikan dengan memberi penekanan kepada pembangunan sahsiah, kemahiran insaniah dan daya tahan, selari dengan perubahan sikap pelajar.

Pada masa sama, peranan guru dan ibu bapa sebagai tonggak sokongan emosi pelajar perlu diperkukuh melalui latihan, libat urus dan inisiatif mendekati generasi muda.

*Normawati Adnan ialah wartawan Sinar Harian