Tarif tambahan AS 10% jejas eksport perabot, peranti perubatan dan sarung tangan getah pada 9M26 - Johari

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 11:22 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tarif tambahan AS 10% jejas eksport perabot, peranti perubatan dan sarung tangan getah pada 9M26 - Johari Image from: Tarif tambahan AS 10% jejas eksport perabot, peranti perubatan dan sarung tangan getah pada 9M26 - Johari liza28/10/2026 - 11:22 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Okt – Industri perabot, peranti perubatan dan sarung tangan getah Malaysia berdepan tekanan susulan tarif tambahan Amerika Syarikat (AS) dengan eksport ketiga-tiga produk itu ke pasaran berkenaan mencatatkan penurunan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026.

 

Eksport perabot ke AS merosot paling ketara sebanyak 19.2% kepada RM3.77 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2026, berbanding RM4.67 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Selain itu, eksport peranti perubatan pula susut 12% kepada RM8.74 bilion daripada RM9.93 bilion manakala penghantaran sarung tangan getah susut 1.6% kepada RM5 bilion berbanding RM5.1 bilion sebelumnya.

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, AS menyumbang kira-kira 32% hingga 47% daripada eksport Malaysia bagi ketiga-tiga kategori produk itu yang menyebabkan industri berkenaan terdedah kepada sebarang perubahan dasar perdagangan negara tersebut.

 

Pengeluar berdepan tekanan kos

Menurut Johari, sebahagian industri utama terpaksa menyerap kos tambahan tarif atau menawarkan diskaun kepada pembeli bagi mengekalkan daya saing dan akses ke pasaran AS.

 

“Keadaan itu berbeza dengan sektor elektrik dan elektronik (E&E), yang mendapat pengecualian daripada tarif tambahan AS bagi kebanyakan produk semikonduktor dan E&E.

 

“Pengecualian itu penting memandangkan sektor E&E menyumbang kira-kira 64.2% daripada eksport Malaysia ke AS, manakala semikonduktor membentuk 44% daripada eksport E&E negara,” katanya.

 

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai kesan tarif AS terhadap industri Malaysia serta usaha mengenal pasti pasaran baharu untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

Johari berkata, peningkatan permintaan terhadap semikonduktor susulan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pusat data menjadi pemacu utama pertumbuhan eksport Malaysia ke AS.

 

Kerajaan cari pasaran alternatif

Bagi mengurangkan pendedahan pengeksport kepada perubahan dasar perdagangan AS, kerajaan memperluas usaha membuka pasaran baharu, termasuk di Timur Tengah, Afrika, Amerika Latin dan Asia Selatan.

 

Johari berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut meneruskan usaha mendapatkan akses pasaran melalui perjanjian perdagangan bebas serta menyediakan geran dan insentif kepada PMKS.

 

Misi perdagangan dan pelaburan juga dilaksanakan bagi membantu syarikat Malaysia meneroka peluang eksport di luar pasaran tradisional.

 

Eksport ke negara lain meningkat

Beliau berkata usaha mempelbagaikan destinasi eksport turut disokong oleh peningkatan penghantaran beberapa produk Malaysia ke pasaran alternatif.

 

“Bagi sarung tangan getah, eksport ke Oman meningkat 712%, Brazil 84.6%, Sweden 80.8%, Denmark 48.1%, Belanda 43.7%, Estonia 34% dan Kanada 18.4%.

 

“Eksport peranti perubatan pula meningkat 206% ke Korea Selatan, 74.9% ke Singapura, 65% ke Sweden, 59.1% ke Brazil, 43.9% ke Türkiye, 26.6% ke Kanada dan 5% ke United Kingdom.

 

“Sementara itu, eksport perabot mencatatkan pertumbuhan 586.1% ke Guyana, 140% ke Taiwan, 135.4% ke Switzerland, 99% ke Vietnam dan 68.3% ke New Zealand,” katanya.

 

Johari berkata, kementerian akan terus memantau dasar perdagangan AS dan mengambil langkah proaktif bagi melindungi pengeksport, khususnya PMKS, daripada kesan tarif.

 

AS mengenakan tarif tambahan 10% terhadap hampir semua eksport Malaysia pada 24 Julai susulan siasatan di bawah Seksyen 301 berkaitan dakwaan buruh paksa. Kadar tarif daripada siasatan berasingan mengenai lebihan kapasiti industri pula masih belum ditentukan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved