Tarikan orkid harimau berbunga lapan tahun sekali

Environment
19 Aug 2026 • 8:35 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tarikan orkid harimau berbunga lapan tahun sekali

GUA MUSANG – Keunikan orkid harimau yang hanya berbunga kira-kira lapan tahun sekali menjadi tarikan di Kampung Redip di sini apabila pokok berkenaan kembali mengeluarkan bunga selepas sekian lama dinantikan.

Seorang penduduk Orang Asli, Razali Ayeh, 51, berkata, dia teruja melihat sepohon orkid harimau yang ditanam sejak 15 tahun itu kembali berbunga buat kali kedua.

Katanya, benih pokok itu diambil dari kawasan hutan terletak lebih sejam perjalanan dari kampung sebelum dita­nam di rumah sebagai tanaman hiasan pada 2011.

“Saya terjumpa anak pokok ini yang terjatuh dari sebatang pokok semasa bekerja. Saya ambil dan bawa pulang sebelum menanamnya untuk dijadikan hiasan.

“Ini kali kedua ia berbunga selepas kali pertama pada 2018. Memang lama menunggu, tetapi apabila berbunga saya rasa puas dan gembira apabila menjadi tarikan kepada penduduk kampung serta orang luar yang berkunjung ke sini,” katanya.

Razali memberitahu, daripada tiga pokok orkid ditanam, hanya satu daripadanya merupakan orkid harimau.

Katanya, ketika musim berbunga, orkid harimau menjadi antara tarikan di kampung itu.

“Ada pengunjung bertuah dapat melihat bunga ini sedang mekar meminta untuk membelinya tetapi saya tidak jual.

“Bukan mudah mendapatkan pokok ini kerana ia tumbuh di atas pokok tinggi di dalam hutan. Pokok ini juga mudah dijaga. Biasanya saya akan mengekalkan batang muda berwarna hijau, manakala batang tua dan berwarna keperangan akan dicantas,” katanya.

Mengikut fakta, orkid harimau atau nama saintifiknya Grammatophyllum Speciosum adalah spesies orkid terbesar dan terberat di dunia mampu hidup subur di kawasan tropika yang panas serta lembap se­perti Malaysia.

The post Tarikan orkid harimau berbunga lapan tahun sekali appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved