
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menentukan calon terbaik yang bakal menerajui badan induk bola sepak negara bagi baki penggal 2025 hingga 2029.
Beliau berkata, kementeriannya menghormati garis sempadan antara kerajaan dan persatuan sukan, justeru tidak akan campur tangan dalam proses pemilihan Presiden FAM yang kini menyaksikan persaingan antara Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.
“Berkenaan dengan pemilihan calon dan siapakah yang akan dinobatkan atau dipilih, saya menyerahkan perkara itu kepada persatuan kerana kita tahu garis sempadan yang perlu kita hormati antara kementerian dan juga persatuan sukan.
“Apa pun itu, harapan kita adalah sesiapa pun calon yang akan diangkat, ia adalah individu yang mampu bekerja secara berkumpulan serta mampu mengangkat martabat dan darjat bukan sahaja persatuan, tetapi bola sepak negara kita ke arah yang maju dan baik.
“Kita mahu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak ini. Saya doakan yang terbaik untuk FAM dan seluruh pasukan yang akan dipilih nanti,” katanya ketika ditemui selepas memantau persiapan atlet negara ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Bukit Jalil, hari ini.

Pemilihan Presiden FAM dijangka menjadi tumpuan selepas Ab Ghani dan Shahril disahkan sebagai dua calon yang bakal bertembung bagi jawatan tertinggi berkenaan.
Sebelum ini, Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin turut disebut-sebut antara calon pilihan untuk merebut jawatan tersebut.
Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan yang diumumkan FAM hari ini, nama Hamidin tidak tersenarai sebagai calon Presiden, sekali gus menyaksikan persaingan secara langsung antara Ab Ghani dan Shahril.
Mengulas isu dokumen palsu yang masih menjadi perhatian peminat bola sepak, Taufiq berkata, perkara tersebut perlu diserahkan kepada pihak berkuasa dan pihak berkaitan untuk diteliti.
“Berkenaan dengan kewarganegaraan dan sebagainya, itu bukan dalam bidang Kementerian Belia dan Sukan.
“Jika ada apa-apa keperluan atau isu yang masih berlaku dalam persatuan, sudah pasti saya memberikan kepercayaan penuh kepada kepimpinan FAM dan juga persatuan untuk menyelesaikannya dengan sebaik mungkin,” katanya. – UTUSAN
The post Taufiq mahu FAM kembali gemilang appeared first on Utusan Malaysia.






