TDA kendalikan lebih 86 kontrak berasaskan prestasi bernilai RM7 bilion di agensi kerajaan

21/08/2025 - 15:31
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 21 Ogos – Technology Depository Agency Bhd (TDA), agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia, mencatatkan kemajuan signifikan dalam pelaksanaan Kontrak Berasaskan Pencapaian Prestasi (PBC) dengan lebih 86 perjanjian di pelbagai agensi kerajaan yang kini bernilai melebihi RM7 bilion.
Pencapaian itu sejajar dengan usaha Malaysia untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti perbelanjaan Kerajaan dalam memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi hasil nyata kepada rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif TDA, Dr Sharoul Jambari berkata, setakat Ogos 2025, kontrak-kontrak PBC ini telah dilaksanakan atau sedang berjalan melibatkan beberapa kementerian utama termasuk Jabatan Kastam Malaysia, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.
“Kaedah PBC menghubungkan pembayaran kontraktor terus dengan pencapaian hasil yang telah dipersetujui dengan ganjaran bagi prestasi cemerlang dan tindakan pemulihan bagi prestasi tidak memuaskan.
“Berbeza daripada kontrak tradisional, PBC menekankan hasil sebenar berbanding sekadar pematuhan dokumentasi rutin untuk memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan telus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kaedah PBC yang diperkenalkan pada Julai 2022 adalah wajib dilaksanakan bagi kontrak penyelenggaraan, pembaikan dan pengubahsuaian bernilai lebih RM25 juta.
Pendekatan itu sudah lama diamalkan di Amerika Syarikat, Eropah dan Australia.
Dalam pada itu, beliau berkata, inisiatif tersebut menunjukkan kejayaan TDA dalam mengubah kontrak kerajaan daripada berasaskan proses kepada berasaskan prestasi.
“Agensi-agensi menunjukkan komitmen untuk memastikan setiap perbelanjaan kerajaan memberi nilai kepada rakyat,” katanya.
Selain pelaksanaan kontrak, TDA turut menganjurkan Malaysian PBC Practitioner Workshop 2025 yang mengumpulkan pihak berkepentingan dari pelbagai kementerian dan agensi untuk bertukar pengalaman, mengenal pasti cabaran dan memperkukuh kerjasama.
Bengkel itu menekankan pentingnya kolaborasi antara agensi bagi memastikan kontrak memberi manfaat jangka panjang kepada orang awam, sambil mengukuhkan peranan TDA sebagai Pusat Rujukan PBC untuk semua perkara berkaitan prestasi, sama ada melibatkan perjanjian rasmi atau tidak rasmi.
Dengan lebih daripada 86 kontrak yang berjaya dijalankan, TDA dan pemegang sahamnya kini menyasarkan fasa seterusnya untuk memperluas amalan berasaskan prestasi di lebih banyak sektor serta meningkatkan keyakinan awam terhadap pengurusan perbelanjaan kerajaan. - DagangNews.com
standard


