
Team SAR Kongsi Video Raya Haji Dalam Hutan, Buat Netizen Sebak
Setiap orang mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam kehidupan.
Ketika kebanyakan daripada kita dapat berkumpul bersama keluarga, menikmati suasana pagi Aidiladha dan mendengar alunan takbir raya di rumah atau masjid, ada insan yang terpaksa berkorban demi melaksanakan amanah yang dipikul.
Baru-baru ini, satu video yang tular di media sosial menyentuh hati ramai apabila memaparkan detik hening pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang bertugas di Gunung Batu Putih.
"Masing-masing termenung..."
Difahamkan, rakaman tersebut diambil pada awal pagi Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.
Dalam video itu, kedengaran jelas alunan takbir raya bergema, mencipta suasana yang membuatkan ramai sebak.
Baca juga:
Video Pasukan SAR Cari Jaslinda Jadi Perhatian
Pendaki Hilang: Perkembangan SAR, Tindakan Susulan Dibincang Dalam Mesyuarat Esok
Pendaki Hilang: Khidmat Orang Asli Daripada Komuniti Setempat Dijangka Mula Esok
Pada ketika itulah, kamera merakam wajah-wajah anggota penyelamat yang kelihatan keletihan, mungkin selepas berjam-jam menjalankan operasi. Ada yang berdiri diam seketika, ada yang termenung.
"Suasana raya haji dalam hutan, masing-masing termenung bila dengar takbir pagi raya..." - tulis kapsyen video yang dikongsikan.
Meskipun berada jauh dari keluarga dan tidak dapat meraikan Aidiladha seperti kebanyakan orang lain, mereka tetap meneruskan tugas tanpa mengeluh.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen mengakui mereka sebak melihat rakaman tersebut.
Netizen tak henti ucap terima kasih
Tak dilupakan, ramai juga yang meninggalkan ucapan penghargaan dan doa buat semua anggota yang terlibat dalam operasi berkenaan.
"Inilah yang dimaksudkan 'pengorbanan'. Semoga dipermudahkan semuanya. Terima kasih semuanya."
"Terima kasih orang baik. Moga selamat pergi dan balik."
"Terbaik kru pencarian semua. Hanya Allah yang mampu membalas setiap titik peluh kalian. Semoga dilindungi Allah selalu."
"Pengorbanan yang bermakna. Tinggal ank bini, tinggal rumah dan keselesaan, demi menolong insan yang perlukan pertolongan. Semoga Allah membalas kebaikan buat saudara-saudara semua."
"Hari-hari menunggu berita. Walaupun macam-macam persepsi tapi hikmahnya kita satu Malaysia dapat tengok kegigihan pasukan SAR ni dan dapat belajar banyak ilmu."
Semoga semua anggota penyelamat yang terlibat dalam operasi di Gunung Batu Putih sentiasa dilindungi, diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan.






