Tecno ialah sebuah jenama peranti pintar dari China yang dikenali untuk penawaran mampu milik untuk mereka yang tidak mahu membelanjakan wang yang banyak untuk peranti-peranti mereka, tetapi masih mahukan prestasi baik dan ciri-ciri menarik pada peranti mereka.
Oleh kerana ini, Tecno Camon 50 Ultra 5G telah dilancarkan di acara Mobile World Congress 2026 hari ini, memperlihatkan penawaran terbaru dan paling berkuasa mereka setakat ini.

Peranti pintar ini hadir dengan paparan AMOLED bersaiz 6.78 inci dengan resolusi 1.5K dan kadar segar semula 144Hz. Paparan ini juga menyokong teknologi paparan HDR10 dan dilindungi dengan Gorilla Glass Victus 2. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai pengimbas cap jari optik bawah paparan untuk log masuk peranti lebih cepat.
Peranti ini dikuasakan oleh cip pemprosesan MediaTek Dimensity 7400 Ultimate dan dimuatkan bersama-sama memori sehingga LPDDR5X 12GB dan storan 256GB dan menggerakkan sistem operasi HiOS 16 yang berasaskan sistem operasi Google terbaru, Android 16. Tecno juga menjanjikan kemaskinii sistem operasi untuk tiga versi akan datang.

Rekaan belakang paparan yang digunakan dilihat sama dengan Tecno Camon 50 Pro 5G yang diperkenalkan baru-baru ini, bersama-sama modul kamera tiga lensa yang terdiri daripada lensa lebar 50MP, lensa telefoto 50MP dan lensa ultra-lebar 8MP. Bahagian belakang peranti ini juga dilindungi oleh kaca Gorilla Glass 7i dan disahkan tahan lasak dengan pengesahan MIL-STD-810.

Dalam pada itu, ia juga dimuatkan dengan bateri bersaiz 6500mAH dan menyokong pengecasan sepantas 45W. Dalam pada itu, peranti ini juga hadir dengan sokongan untuk sambungan nirwayar WiFi 6, Bluetooth, NFC dan rangkaian radio FM. Ia juga akan hadir dalam pilihan warna jingga, ungu, hitam dan hijau.
Buat masa ini, Tecno masih belum mengumumkan bilakah mereka akan mula menjual peranti Tecno Camon 50 Ultra 5G ini, tetapi Tecno Malaysia telah mengesahkan bahawa ia akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi.


